Gambar hiasan
Gambar hiasan

CELCOMDigi Berhad (CelcomDigi) menghasilkan risalah antipenipuan untuk mendidik rakyat Malaysia dengan pengetahuan dan bahan yang sahih agar terhindar daripada menjadi mangsa.

Ini kerana, berdasarkan statistik daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih 25,000 kes jenayah siber membabitkan lebih RM855 juta dilaporkan pada 2022 yang secara tidak langsung menunjukkan trend scam atau penipuan yang membimbangkan di Malaysia.

Risalah itu sebahagian daripada bahan kempen kesedaran kebangsaan, Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 (JAS23), anjuran bersama CelcomDigi, CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Ketua Bahagian Kelestarian CelcomDigi, Philip Ling berkata, hasil daripada gabungan bersama, CelcomDigi mempunyai kelebihan untuk mendekati ramai rakyat Malaysia secara meluas dalam memacu penyebaran pengetahuan mengenai langkah pencegahan penipuan.

"Pendekatan kami berpaksikan prinsip ACT iaitu mewujudkan Kesedaran (Awareness), memacu Pematuhan (Compliance) yang tinggi dalam organisasi serta menyokong agensi penguatkuasaan, dan memanfaatkan penggunaan Teknologi (Technology) dengan cara terbaik untuk memerangi jenayah siber dan membina perlindungan yang relevan.

"Kami percaya bahawa mengambil tindakan secara kolektif dan membina ekosistem rakan kongsi adalah kunci untuk menyelesaikan isu nasional seperti penipuan ini.

"Memandangkan penjenayah atau scammer semakin bijak dalam kaedah mereka memerangkap pengguna yang tidak berwaspada, kami hendak memperkasa dan membantu rakyat Malaysia dalam mengesan, mengelak dan melaporkan penipuan ini. Melalui usaha seperti kempen JAS23, kami bermatlamat untuk memupuk penggunaan teknologi yang bertanggungjawab untuk pengalaman internet yang lebih selamat buat semua," katanya dalam satu kenyataan.

Risalah tersebut akan diedarkan kepada semua Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang diuruskan oleh CelcomDigi dan juga semasa kempen JAS23 di seluruh negara mulai Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 6:20 AM