Hazira Ahmad Zaidi


Rantau Panjang: Dua beranak yang menumpang di rumah saudara kini mampu mendiami kediaman lebih selesa selepas terdapat individu yang prihatin sanggup menginfak tanah miliknya untuk membina rumah baharu buat keluarga itu.

Zulkifli Hussin, 55, berkata sebelum ini dia dan ibunya, Minah Mamat, 88, menumpang di rumah kosong milik saudaranya di kawasan terpencil sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, dia beranggapan amat mustahil untuk menyimpan wang bagi membina rumah baharu kerana hanya mengambil upah menoreh getah.

"Rumah yang kami diami sebelum ini terlalu uzur dan menunggu masa untuk menyembah bumi apabila hampir keseluruhan lantai sudah reput dimakan anai-anai selain tidak mempunyai kemudahan tandas.

"Ibu juga sudah tua dan hanya mampu mengengsot selain kedua-dua matanya tidak lagi dapat melihat dengan jelas susulan implikasi penyakit kencing manis.

"Mujur ibu mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan untuk membeli keperluannya," katanya.

Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Pengasas Yayasan Raja Shamri (YRS) Raja Shamri Raja Husin yang turut menyampaikan sumbangan wang tunai di Kampung Tasek Bakong, di sini.

Sementara itu, Raja Shamri berkata, rumah dua beranak berkenaan mula dibina pada Februari tahun lalu dan siap sepenuhnya pada awal tahun ini dengan kos keseluruhan RM80,000 termasuk menaik taraf jalan sejauh satu kilometer selain kelengkapan perabot.

"Saya amat berharap kediaman yang dibina ini dapat memberi keselesaan kepada dua beranak berkenaan yang sebelum ini terpaksa menumpang di rumah saudara.

"Alhamdulillah, hasil sumbangan orang ramai banyak membantu kami membina rumah asnaf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 3:45 PM
Zulkifli Hussin (kanan) bersama ibunya, Minah Mamat (tengah) dan turut ditemani Pengasas Yayasan Raja Shamri (YRS) Raja Shamri Raja Husin (kiri) berada di rumah lama mereka di Kampung Tasek Bakong. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Zulkifli Hussin (kanan) bersama ibunya, Minah Mamat (tengah) dan turut ditemani Pengasas Yayasan Raja Shamri (YRS) Raja Shamri Raja Husin (kiri) berada di rumah lama mereka di Kampung Tasek Bakong. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI