Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Keikhlasan dan ketabahan Muhammad Hakimi Abdullah, 19, menjaga abangnya yang lumpuh sejak kecil hari ini mendapat perhatian Yayasan Raja Shamri (YRS) yang berkunjung ke rumahnya di Kampung Tok Pelanduk, di sini.

Kunjungan ke rumah penuntut semester tiga, Diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik Kota Bharu yang memperoleh anugerah dekan setiap semester itu bukanlah dengan tangan kosong sebaliknya Muhammad Hakimi dihadiahkan sebuah motosikal.

Muhammad Hakimi menitiskan air mata tanda kesyukuran selepas menerima motosikal jenis Modenas Kriss 110 yang bakal memudahkannya untuk bergerak ke Politeknik Kota Bharu nanti.

Menurutnya, dia berjanji menggunakan kemudahan yang ada untuk terus mengekalkan kecemerlangan bagi mendapat anugerah dekan bagi setiap semester seterusnya memperoleh kerjaya idaman sebagai jurutera kelak.

"Selepas kisah hidup menjadi viral sejak beberapa hari lalu, saya lebih bersemangat meneruskan kehidupan sambil menjaga abang istimewa, Muhammad Khairul Anuar Abdullah, 21, yang lumpuh sejak kecil.

"Banyak komen positif diberikan orang ramai di seluruh negara, sekali gus memberikan keyakinan kepada saya selain rasa lebih menghargai abang yang menjadi asbab rezeki buat kami sekeluarga hari ini.

"Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak YRS yang peka dengan keadaan kami sekeluarga selain turut memberikan pelbagai bentuk sumbangan termasuk dana bagi pembinaan tandas di rumah ini," katanya selepas menerima kunjungan daripada Pengasas YRS, Raja Shamri Raja Husain, di rumahnya, hari ini.

MUHAMMAD Hakimi (kiri) menitiskna air mata kesyukuran selepas menerima sumbangan motosikal ketika ditemui di rumahnya Kampung Tok Pelanduk. FOTO Syaherah Mustafa
MUHAMMAD Hakimi (kiri) menitiskna air mata kesyukuran selepas menerima sumbangan motosikal ketika ditemui di rumahnya Kampung Tok Pelanduk. FOTO Syaherah Mustafa

Ahad lalu, akhbar melaporkan kejayaaan Muhammad Hakimi memperoleh anugerah dekan bagi setiap semester walaupun terpaksa menimba ilmu sambil menggalas tanggungjawab menjaga abang OKU.

Sementara itu, Raja Shamri berkata pihaknya membuat kejutan dengan menyampaikan sumbangan motosikal sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan Muhammad Hakimi.

"Selain itu, YRS melalui sumbangan orang ramai turut menyediakan dana sebanyak RM20,000 untuk membina tandas di dalam rumah buat keluarga ini bagi memudahkan mereka menguruskan Muhammad Khairul Anuar.

"Semoga dengan bantuan daripada YRS dapat meringankan beban keluarga terbabit kerana saya difahamkan ibu bapa mereka, Abdullah Zakaria, 61, dan Nur Hela Che Daud, 55, hanya mencari rezeki dengan mengambil upah menoreh getah.

"Terima kasih juga buat semua penyumbang di YRS daripada seluruh negara yang sama-sama berjuang dengan pihak kami bagi membantu golongan asnaf yang memerlukan," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 2:00 PM