APLIKASI MyJPJ yang memaparkan lesen kenderaan motor digital (e-LKM). FOTO Asyraf Hamzah.
APLIKASI MyJPJ yang memaparkan lesen kenderaan motor digital (e-LKM). FOTO Asyraf Hamzah.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Selepas empat hari pelancaran, aplikasi Jabatan Pengangkutan Jalan atau MyJPJ sudah dimuat turun lebih 2.5 juta pengguna.

Aplikasi itu dibangunkan untuk menyemak secara serentak salinan lesen memandu dan cukai jalan digital.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, selepas pengumuman pada hari pertama, aplikasi itu menerima jumlah trafik yang tinggi dan berhadapan masalah teknikal.

"Lebih 500,000 pendaftaran dalam tempoh satu saat pada hari pertama. Kita sudah jangka akan ada masalah tapi kita cuba selesaikan.

"Setakat ini sudah berjaya mengatasi dan perbaiki, malah sistem ini sudah stabil.

"Sejak hari pertama diumumkan sehingga sekarang, lebih 2.5 juta pengguna mendaftarkan pendaftaran identiti (ID) mereka dan sudah dapat mengakses lesen dan cukai jalan secara digital," katanya ketika ditemui dalam Program Arts on the Move di Transit Aliran Massa (MRT) Pasar Seni, hari ini.

Ditanya mengenai tahap keselamatan sistem pendigitalan seperti dibangkitkan beberapa pihak, Loke berkata, pihaknya bekerjasama dengan Cybersecurity berhubung perkara itu.

"Kita ada pihak bertanggungjawab termasuk Cybersecurity terhadap keselamatan siber dan akan ditambah baik daripada semasa ke semasa," katanya.

Katanya, beberapa penambahbaikan sudah dilakukan termasuk mendaftarkan nombor siri pada lesen memandu bagi mengelak disalahgunakan sesetengah pihak.

"Mereka yang sudah mendaftar melalui aplilasi MyJPJ tidak perlu memasukkan nombor berkenaan. Langkah keselamatan ini adalah untuk pengguna baharu," katanya.

Menurutnya, JPJ meningkatkan ciri keselamatan itu susulan aduan sebelum ini bahawa pendaftaran aplikasi berkenaan hanya memerlukan nombor kad pengenalan dan ia boleh disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata nombor unique alphanumeric identifier (yang tertera di belakang lesen) berbeza bagi setiap lesen memandu yang dikeluarkan oleh JPJ.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 5:50 PM