PEGAWAI Jabatan Pengangkutan Jalan, Norhayati Zainudin menunjukkan aplikasi MyJPJ. FOTO Asyraf Hamzah.
PEGAWAI Jabatan Pengangkutan Jalan, Norhayati Zainudin menunjukkan aplikasi MyJPJ. FOTO Asyraf Hamzah.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kelemahan keselamatan yang dikesan dalam aplikasi MyJPJ berjaya diatasi sebelum dilancarkan Jumaat lalu, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, CyberSecurity Malaysia (CSM) sudah mengenal pasti kelemahan itu semasa proses pembangunan aplikasi itu.

"Pihak CSM sudah melakukan saringan dan siasatan terhadap aplikasi MyJPJ, kita sudah kenal pasti satu kelemahan yang tidak terlalu besar dan ia (kelemahan itu) telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan.

"Saya tiada maklumat terperinci, tetapi sebelum digunakan secara meluas ia sudah dikesan. Saya sendiri berhubung dengan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) dan perkara itu telah diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina bagi Parlimen Lembah Pantai di Taman Seri Sentosa, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kegusaran yang disuarakan pengguna mengenai keselamatan data peribadi dan aplikasi MyJPJ.

Pada Jumaat, Loke mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan masing-masing yang berkuat kuasa serta-merta, sebaliknya hanya perlu menunjukkan dokumen itu melalui aplikasi berkenaan yang dibangunkan secara dalaman.

Loke dipetik berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama membabitkan kenderaan persendirian individu termasuk motosikal bagi warganegara.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan CSM juga sudah digerakkan untuk untuk membuat pemantauan terhadap semua prasarana siber yang diguna pakai kerajaan, termasuk aplikasi dan laman web bagi mengurangkan kebarangkalian berlakunya pencerobohan.

"Dengan kepakaran CSM dan undang-undang yang lebih meluas, ini akan dapat membantu menjamin keselamatan siber rakyat, kementerian dan agensinya," katanya.

Berhubung isu keselamatan siber, beliau menyeru agar kerajaan di rantau Asia Tenggara untuk bekerjasama membendung jenayah siber yang bersifat rentas sempadan khususnya jenayah penipuan.

"Sejumlah daripada jenayah siber ini tidak berlaku dalam negara kita, maksudnya ada panggilan dibuat dari luar negara tapi mangsanya rakyat kita. Jadi, ini perlukan satu kerangka di peringkat ASEAN," katanya.

Menurut Fahmi, perkara itu sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN ke-3 (ADGMIN3) dan beberapa negara menyatakan sokongan untuk menyelaraskan protokol serta kerangka undang-undang bagi memudahkan siasatan dan tangkapan membabitkan jenayah siber.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 4:25 PM