Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Istanbul: Lapangan Terbang Istanbul, di sini, dipenuhi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan badan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai negara yang tiba ke negara ini bagi menghulurkan bantuan.

Antara pasukan SAR yang dilihat tiba ialah pasukan penyelamat dari Belanda, Vietnam dan kumpulan kedua pasukan Penyelamat dari Malaysia.

Keadaan di sekitar lapangan terbang dilihat sibuk apabila penduduk tempatan turut mengambil peluang untuk ke wilayah yang terjejas akibat gempa bumi.

Paparan paparan kristal cecair (LCD) di kawasan lapangan terbang juga dilihat memaparkan situasi semasa keadaan gempa bumi yang berlaku di selatan negara ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM), Mohd Johari Ismail berkata, misi kemanusiaan gempa bumi Turkiye akan bermula di wilayah Adana dan Hatay.

"Perjalanan misi akan bermula di Adana, perjalanan dari Istanbul akan mengambil masa kira-kira tiga jam menggunakan pesawat.

"Setiba di Adana pasukan MCM akan bergerak ke Hatay iaitu kawasan yang teruk terjejas akibat gempa bumi untuk menyalurkan sumbangan, "katanya.

Menurutnya, jarak di antara Adana dan Hatay adalah kira-kira 200 kilometer dan mengambil masa perjalanan antara tiga hingga empat jam.

"Antara sumbangan awal yang akan diusahakan pihaknya ialah makanan, pakaian, ubat-ubatan dan wang tunai kepada mangsa gempa, "katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun MAYBANK Muslim Care Malaysia 564490413882, Bank Islam 14014010147470, Bank Rakyat 1101744599 selain ke akaun Bank CIMB Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia 8604171675.

Slip sumbangan boleh dimaklumkan kepada exco untuk rekod dan dokumentasi melalui Hotline: 011-5005 0035 atau kepada Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail 016-997 8323 dan Setiausaha Agung MCM Ahmad Safuan Ujar 013-488 6447.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 12:42 PM
PASUKAN misi mencari dan menyelamat (USAR) dari pelbagai negara tiba bagi misi menyelamat dan mencari mangsa gempa bumi Turkiye ketika tiba di Lapangan Terbang  Istanbul, Turkiye. FOTO Aizuddin Saad
PASUKAN misi mencari dan menyelamat (USAR) dari pelbagai negara tiba bagi misi menyelamat dan mencari mangsa gempa bumi Turkiye ketika tiba di Lapangan Terbang Istanbul, Turkiye. FOTO Aizuddin Saad