DATUK Seri Anwar Ibrahim. FOTO Bernama.
DATUK Seri Anwar Ibrahim. FOTO Bernama.
Essa Abu Yamin


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah dan doa kepada Presiden Turkiye Recep Tayyib Erdogan atas tragedi gempa bumi Turkiye.

"Sejurus tiba dari Bangkok semalam, saya sempat bercakap dengan Presiden Turki Recep Tayyib Erdogan untuk sampaikan ucapan dan doa atas tragedi bencana gempa yang menimpa Turkiye.

"Kerajaan Malaysia mengutus dua pasukan mencari dan menyelamat SMART serta membina satu 'field hospital' (hospital medan), selain rakyat yang turut mengumpul dana bagi membantu saudara di sana," katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Terdahulu, gempa bumi kuat melanda tenggara Turkiye dan negara jiran Syria awal Isnin lalu, memusnahkan bandar dan mengorbankan serta mencederakan lebih 20,000 orang ketika ini.

Gempa bumi pertama berukuran 7.8 pada skala Richter pada 4.17 pagi (waktu tempatan) berlaku berhampiran bandar Gaziantep di Turkiye, yang menempatkan kira-kira dua juta orang.

Ia kemudian diikuti gempa susulan berukuran 7.5 pada skala Richter dan beberapa gegaran susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 12:10 PM