ANGGOTA bomba mengangkat seorang daripada pekerja kapal yang cedera selepas terkena libasan tali kapal. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba mengangkat seorang daripada pekerja kapal yang cedera selepas terkena libasan tali kapal. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua pekerja kapal cedera manakala seorang hilang selepas mereka terkena libasan tali kapal yang terlepas ketika mereka cuba mengikatnya di sebuah jeti di Jalan Pending, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.10 pagi.

Menurutnya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dibantu 11 anggota termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Padungan diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Setibanya di lokasi, dua pekerja lelaki tempatan cedera dengan seorang daripadanya patah kaki ditemukan terdampar di tebing sungai, manakala seorang lagi cedera ringan.

"Seorang pekerja warga Myanmar berusia 28 tahun pula dilaporkan hilang apabila terjatuh ke dalam sungai," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurut PGO JBPM Sarawak, dua mangsa yang cedera masing-masing berusia 35 dan 37 tahun diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Katanya, kejadian itu disedari selepas pengurus syarikat perkapalan itu menerima panggilan daripada pekerja kapal memaklumkan berlaku kemalangan di atas kapal membabitkan tiga pekerja yang sedang mengikat tali kapal.

"Tiba-tiba tali itu terlepas dan melibas ketiga-tiga mangsa menyebabkan mereka terhumban ke dalam sungai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 12:17 PM