ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di dalam kereta yang terbalik selepas terbabas di Jalan Batu Kitang, Kuching. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di dalam kereta yang terbalik selepas terbabas di Jalan Batu Kitang, Kuching. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi

Kuching: Seorang remaja lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbalik selepas terbabas dalam kemalangan di Jalan Batu Kitang berdekatan Kampung Bumbok, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 16 tahun yang tersepit di tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara, rakannya yang turut tersepit di dalam kereta Toyota Vios cedera parah, manakala seorang lagi mangsa pula cedera ringan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.17 pagi sebelum 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dihantar ke lokasi.

"Setibanya di lokasi, terdapat dua orang masih tersepit di dalam kenderaan berkenaan manakala seorang lagi berjaya keluar sebelum ketibaan bomba.

"Pihak bomba bertindak memotong pintu penumpang hadapan untuk mengeluarkan mangsa pertama menggunakan peralatan khas sebelum memghantarnya ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan jentera EMRS.

"Kaedah sama juga digunakan untuk mengeluarkan mangsa kedua di tempat duduk pemandu, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi," katanya.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 12:35 PM