DUA maut dan seorang cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan empat kenderaan di Jalan Bau-Lundu. FOTO Ihsan JBPM
DUA maut dan seorang cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan empat kenderaan di Jalan Bau-Lundu. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi

Kuching: Dua lelaki maut selepas kereta Perodua Kenari yang dinaiki terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan lain di Jalan Bau-Lundu, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, wanita yang memandu kereta terbabit pula parah.

Beliau berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.56 pagi.

"Setibanya di lokasi didapati kemalangan berlaku membabitkan empat kenderaan iaitu Perodua MyVi, Perodua Kenari, Proton Saga dan sebuah lori treler.

"Dua lelaki yang menaiki kereta Perodua Kenari disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandunya iaitu wanita pula cedera parah di kepala," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, identiti dua mangsa yang maut serta yang cedera bagaimanapun belum diperoleh.

"Mangsa yang cedera mendapat rawatan awal di lokasi oleh anggota EMRS BBP Lundu dan dia kemudian dikejarkan ke Hospital Lundu untuk rawatan lanjut.

"Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, tiga lagi mangsa, semuanya iaitu memandu Proton Saga, pemandu Perodua MyVi dan pandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 10:43 AM