Anak panah senapang ikan tertusuk di lengan seorang lelaki di Betong, petang tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Anak panah senapang ikan tertusuk di lengan seorang lelaki di Betong, petang tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Mohd Roji Kawi

Betong: Anggota bomba terpaksa dipanggil bagi membantu mengeluarkan anak panah senapang ikan yang tertusuk di lengan seorang lelaki di sini, petang hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Hospital Betong yang memohon bantuan itu pada 6 petang.

Menurutnya, sepasukan tiga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong kemudian diarah ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

"Setibanya di hospital didapati seorang lelaki yang berusia lingkungan 20-an cedera di lengan kanan selepas tertusuk anak panah senapang ikan.

"Kejadian itu dikatakan berlaku ketika lelaki itu sedang menangkap ikan sambil menggunakan senapang itu di sungai," katanya.

Beliau berkata, anggota EMRS berusaha memotong anak panah yang diperbuat daripada besi itu dengan menggunakan pemotong hidraulik.

"Selesai memotong besi itu, mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan selanjutnya dan operasi selesai pada 6.18 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 8:21 PM