Anggota PGO JBPM mengumpul maklumat daripada kru kapal yang selamat. FOTO IHSAN JBPM
Anggota PGO JBPM mengumpul maklumat daripada kru kapal yang selamat. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua kru kapal pukat tunda yang panik apabila kapal mereka terlanggar tiang jambatan di muara sungai di Kampung Beladin, Meludam, di daerah Saratok, bertindak terjun ke sungai malam tadi.

Tindakan itu menyebabkan salah seorang daripada mereka hilang, manakala seorang lagi berjaya berenang ke tebing sebelum diselamatkan oleh penduduk kampung.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa yang hilang dikenali sebagai Mohd Hiki Hasan, 20, manakala yang berjaya diselamatkan penduduk kampung ialah Fairon Azhar, 39.

Beliau berkata, ketika kejadian, empat kru berada di dalam kapal berkenaan dengan dua daripadanya selamat iaitu Mohd Rahimi Hasan, 30, dan Mohd Asri Zaidi, 27, apabila mereka kekal berada di dalam kapal.

"Berdasarkan keterangan mangsa yang selamat, ketika mereka dalam perjalanan dari Kuching ke Beladin, enjin kapal pukat tunda itu tiba-tiba mengalami kerosakan menyebabkan kapal hanyut.

"Ketika berada di muara sungai, kapal yang hanyut terlanggar tiang jambatan menyebabkan dua kru yang panik bertindak terjun ke sungai," katanya.

Menurutnya, PGO JBPM Sarawak menerima maklumat kejadian itu selepas menerima panggilan daripada anggota Balai Polis Beladin pada 10.43 malam.

Berikutan itu, tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok diarah ke lokasi yang terletak 59 kilometer dari balai.

"Setibanya di lokasi, anggota bomba dan polis mengambil maklumat daripada kru yang selamat sebagai panduan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Bagaimanapun operasi ditangguhkan pada 1.30 pagi dan disambung semula pagi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 8:17 AM