Daun ketum yang dirampas. FOTO ihsan polis
Daun ketum yang dirampas. FOTO ihsan polis
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Padang Besar: Hampir dua tan daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand bernilai RM71,750 berjaya dirampas selepas polis memberkas seorang lelaki dalam serbuan di dua lokasi di Wang Kelian, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superitendan Saifudin Aslin Abas berkata, kejadian pertama berlaku pada 5.30 petang apabila polis yang menjalankan rondaan berdekatan View Point Wang Kelian, di sini, terlihat sebuah kereta jenis Perodua Alza berwarna biru dipandu dalam keadaan mencurigakan melalui kawasan berkenaan.

"Anggota polis peronda kemudian mengekori kenderaan berkenaan sebelum memintas dan mengarahkan pemandu kereta itu berhenti.

"Kereta itu dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun dan pemeriksaan dalam kenderaan berkenaan mendapati ia membawa muatan plastik berwarna hitam berisi daun ketum.

"Berat daun ketum dianggarkan 650 kilogram (kg) dengan nilai anggaran hampir RM20,000," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Katanya, susulan penahanan suspek, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar menyerbu dua rumah kosong di Kampung Wang Kelian pada 8 malam dan 10 malam hari sama.

"Dalam serbuan jam 8 malam itu, polis menemui longgokan daun ketum dianggarkan seberat 500 kg di rumah kosong pertama.

"Serbuan di satu lagi rumah kosong pada 10 malam pula, kita menemukan longgokan daun ketum seberat 1,225 kg dan rampasan daun ketum di kedua-dua rumah berkenaan dianggarkan bernilai RM51,750," katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan daun ketum dianggarkan berjumlah RM71,750 dan suspek serta rampasan dibawa ke IPD Padang Besar untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 10:01 AM