Aizat Sharif

Kangar: Tindakan dua lelaki yang terjun ke laut dari bot mereka bagi mengelakkan daripada dicekup anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menemui kegagalan.

Malah penahanan dua lelaki terbabit sekali gus membongkar cubaan mereka menyeludup keluar daun ketum seberat 2.3 tan bernilai RM414,000 ke Thailand di perairan Kuala Perlis, Sabtu lalu.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.45 pagi di kedudukan 1.5 batu nautika barat pantai Sungai Padang, Kuala Perlis, di sini, apabila pasukan operasi khas APMM mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dipercayai dari Kuala Kedah sedang bergerak keluar di perairan Perlis menuju ke arah sempadan Thailand.

Pengarah APMM Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, menyedari perkara itu, satu aset bersama Pasukan Zon Maritim Kuala Perlis diatur gerak bagi memintas dan menyerbu bot yang sedang dikemudi dua lelaki itu.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa yang mengarahkan suspek memberhentikan bot dikemudi mereka itu, kedua-dua suspek bertindak menukar haluan dengan berpatah balik ke arah pesisir pantai sebelum terjun ke dalam laut.

"Usaha mereka berenang ke daratan bagaimanapun gagal selepas warga tempatan berusia 25 dan 40 tahun itu ditahan anggota penguat kuasa APMM," katanya kepada pemberita di Pejabat APMM Zon Maritim Kuala Perlis, di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot itu mendapati terdapat kanvas berwarna biru yang menutupi 230 bungkusan plastik hitam daun ketum seberat 2.3 tan disembunyikan di dalam petak simpanan ikan hadapan bot itu.

"Kita percaya ia cuba diseludup ke Thailand melalui jalan laut di mana proses pemunggahan bekalan daun ketum itu akan dilakukan di sekitar sempadan laut Malaysia-Thailand. Kita percaya nelayan dari negara jiran pula sudah bersiap sedia menunggu untuk mengambil bekalan daun ketum itu.

"Pemeriksaan lanjut juga menemukan pil kuda berjumlah 100 biji yang dianggarkan bernilai RM2,500, dua paket syabu seberat 1.72 gram (gm) bernilai RM688 serta tiga paket kecil heroin seberat 1.47 gm dianggarkan bernilai RM117.60 atas tempat kemudi bot itu," katanya.

APMM Zon Maritim Kuala Perlis membongkar cubaan menyeludup keluar daun ketum seberat 2.3 tan bernilai RM414,000 ke Thailand di perairan Kuala Perlis dengan penahanan dua lelaki. FOTO Aizat Sharif
APMM Zon Maritim Kuala Perlis membongkar cubaan menyeludup keluar daun ketum seberat 2.3 tan bernilai RM414,000 ke Thailand di perairan Kuala Perlis dengan penahanan dua lelaki. FOTO Aizat Sharif

Katanya, pihaknya percaya dadah berkenaan adalah untuk kegunaan suspek.

"Hasil risikan, kita percaya suspek bertindak sebagai penghantar barang atau 'transporter' dan dipercayai sudah melakukan penghantaran antara tiga hingga empat kali. Mereka ini didalangi sebuah sindiket.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot serta enjin dianggarkan sekitar RM537,305 di mana nilai bagi rampasan daun ketum sahaja sekitar RM414,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Perikanan dan suspek kini direman sehingga 19 Januari ini untuk membantu siasatan," katanya.

Mohd Zawawi berkata, kejadian terbaru ini adalah rampasan daun ketum yang pertama dan terbesar bagi APMM Zon Maritim Kuala Perlis tahun ini.

Sementara itu dalam majlis sama juga, bekas Timbalan Pengarah Operasi APMM Negeri Perak, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain diperkenalkan sebagai Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis yang baru.

Beliau menggantikan Komander Maritim Mohd Shafie Paing yang bertukar ke APMM Zon Maritim Kuching, Sarawak untuk bertugas di Unit Penguatkuasaan dan Eksesais Seksyen Operasi Negeri Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 6:20 PM