Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Suami isteri dari Kampung Bukit Lanjut, di sini, bimbang akan masa depan tiga anak mereka yang berusia antara tiga hingga tujuh tahun disebabkan memiliki sijil kelahiran bukan warganegara.

Noriza Ismail, 35, dan suaminya, Muhamad Syukur Abdullah, 35, buntu memikirkan apa yang perlu dilakukan bagi memastikan Muhammad Zafriel Anaqi Muhamad Syukur, 3; Nur Iyzarrq Batrisya Dania Riedza, 5; dan Muhammad Ilyas Zafran Yashkur ,7, memperoleh sijil kelahiran warganegara untuk memudahkan urusan persekolahan.

Noriza berkata, pada ketiga-tiga sijil kelahiran anaknya, tertera bukan warganegara berikutan maklumat dirinya dan suami tidak lengkap kerana dalam sijil kelahiran mereka sebelum ini, masing-masing tidak dinyatakan dengan lengkap maklumat diri ibu serta ayah kandung.

"Suami saya diserahkan kepada keluarga angkat ketika berusia dua hari dan tidak ada maklumat lengkap mengenai nama dan juga kad pengenalan diri ibu dan ayah kandung selepas diserahkan kepada keluarga angkat, dan tidak pernah tahu siapa ibu kandungnya, malah dan tidak pernah berjumpa dengannya.

"Saya turut mengalami masalah yang sama, apabila tidak mempunyai maklumat lengkap dalam sijil kelahiran mengenai butiran peribadi ibu dan ayah kandung selepas mereka meninggal dunia, dan saya bersama tiga lagi beradik diserahkan kepada saudara terdekat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Lanjut.

Noriza dan suaminya, Muhamad Syukur menunjukkan sijil lahir anak mereka. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Noriza dan suaminya, Muhamad Syukur menunjukkan sijil lahir anak mereka. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili pengerusinya, Che Norhayati Mohamed.

Mengulas lanjut, Noriza berkata, dia dan suami sudah beberapa kali ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kota Bharu dan Kuala Krai untuk menjelaskan perkara berkenaan.

"Bagaimana saya dan suami hendak mencari keluarga kandung kami yang sudah lama ditinggalkan hanya untuk mengisi butiran lengkap dalam sijil kelahiran kami bagi memastikan anak-anak memiliki status warganegara?

"Kami ditinggalkan oleh keluarga kandung masing-masing sejak kecil dan sukar untuk kami menjejaki mereka kembali dan tidak tahu di mana keberadaan mereka sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia," katanya.

Katanya, dia merayu kepada pihak yang berkaitan supaya menyemak semula perkara berkenaan.

"Saya bimbang akan masa depan anak-anak apabila mereka dewasa yang mungkin berdepan kesusahan untuk melanjutkan pelajaran, memandu, bekerja, (mendapatkan) kemudahan perubatan, berkahwin dan lain-lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 8:56 AM