Siti Rohana Idris


KELIBATNYA mendukung bayi sambil menyelongkar tong sampah bagi mencari besi buruk sudah tidak asing pada pandangan penduduk di Kampung Baru Nelayan, Tumpat.

Sambil menggalas beg atau plastik untuk diisi besi buruk, tangannya mendukung bayi lelaki berusia tiga bulan dan sebelah tangan lagi memimpin anak ketiganya berumur empat tahun berjalan sejauh satu kilometer setiap hari.

Itulah rutin Noriza Husain, 35, sejak hampir setahun lalu bagi menyara hidupnya serta empat anak termasuk dua yang bersekolah rendah selepas suami menghilangkan diri.

Noriza berkata, dia bukan saja mencari besi buruk, malah mengambil upah mencabut rumput di rumah penduduk kampung dengan bayaran sekitar RM20 hingga RM30 bergantung kepada keluasan halaman.

“Ketika awal mengandung lagi saya sudah membuat kerja ini dan selepas melahirkan anak, saya tidak berpantang seperti orang lain dan hanya 'berehat' dua minggu sahaja sebelum kembali meneruskan rutin kerana kami perlukan duit belanja.

“Setiap hari keluar mencari besi buruk atau mencabut rumput, memang saya akan bawa sekali dua anak ini manakala dua lagi bersekolah kerana tiada orang yang menjaga," katanya.

KEADAAN kawasan tempat tinggal keluarga Noriza Husain bersama empat anaknya di Kampung Baru Nelayan, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
KEADAAN kawasan tempat tinggal keluarga Noriza Husain bersama empat anaknya di Kampung Baru Nelayan, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Noriza dan empat anaknya hidup menumpang di rumah kakaknya, Sarinah Husain, 43, bersama sembilan lagi ahli keluarga yang lain menjadikan keadaan agak sesak, namun dia tiada pilihan lain.

Terdahulu, mereka dikunjungi kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society, yang diwakili Che Norhayati Mohamed yang hadir menyampaikan sumbangan makanan harian daripada penyumbang, di samping mengetahui lebih lanjut keperluan empat beranak itu.

Noriza berkata, bukan sahaja dalam tong sampah, besi buruk akan dicari di tempat penduduk kampung membakar sampah sarap.

Menurutnya, besi buruk diperoleh dijual dengan harga RM15 satu kilogram, namun secara purata dia memperoleh tidak sampai 500 gram sehari.

Katanya, dia sanggup melakukan apa saja pekerjaan halal, malah pernah mengambil upah menjual tiram walaupun dibayar RM2 sahaja.

“Saya tidak boleh menolak kerana semua itu adalah rezeki untuk anak dan walaupun sedikit, sekurang-kurangnya dua anak saya yang bersekolah di Tahun Dua dan Tiga dapat diberikan wang saku meskipun hanya RM1 atau RM2 setiap hari.

“Bayi pula belum pernah terputus bekalan lampin pakai buang kerana saya membeli yang paling murah dan tiada jenama.

“Ada individu mahu mengambil bayi ini untuk dipelihara namun saya enggan berpisah dengan semua empat anak saya,” katanya.

Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi kakaknya, Sarinah di talian 019-9941269.

NORIZA bersama dua anaknya yang dibawa bersama ketika mencari besi buruk. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
NORIZA bersama dua anaknya yang dibawa bersama ketika mencari besi buruk. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 1:58 PM