Sebahagian ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak ketika menunggu jenazah di Hospital Raub. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Sebahagian ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak ketika menunggu jenazah di Hospital Raub. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


“KALAU saya meninggal dunia dulu, tolong jaga semua anak saya.” Demikian kata-kata yang pernah diungkapkan Nasrul Fakhri Mansor, 38, kepada ibu saudaranya, Maznah Mat Zain sebelum menemui ajal dalam kemalangan di Kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Simpang Sungai Ruan, Raub, awal pagi tadi.

Kejadian 1.40 pagi itu turut mengorbankan isteri dan dua anaknya sementara dua lagi anaknya parah ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Kuang, Sungai Buloh selepas menghadiri kenduri arwah datuknya di Besut, Terengganu.

Menurut adik tiri Nasrul Fakhri, Noriza Mohd Nordin, 31, berkata kali terakhir dia mendapat perkhabaran mengenai keluarga itu pada 11.43 malam tadi menerusi WhatsApp memberitahu mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Bila saya telefon dia kembali pada 6.30 pagi sudah tidak berjawab dan saya mendapat perkhabaran mengenai kemalangan itu pada 10 pagi selepas dimaklumkan ibu,” katanya.

Noriza memaklumkan abangnya sebelum ini pernah berpesan kepada ibu saudara mereka yang dipanggil sebagai Kak Nah itu untuk menjaga anaknya sekiranya dia meninggal dunia.

Katanya, abangnya yang bekerja sebagai kakitangan perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, pergi ke Besut pada Rabu lalu untuk menghadiri kenduri arwah datuknya.

Dalam kejadian itu Nasrul Fakhri yang memandu Perodua Kancil dari arah Kota Bharu ke Kuala Lumpur, dikatakan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Myvi.

Kejadian itu menyebabkan mangsa bersama isteri Hartini Mokhtar, 37, serta dua anak mereka, Nur Faqhiah, 4, dan Nur Fateen Sufi, 1 maut.

Nur Fateen Sufi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raub.

Dua lagi mangsa yang maut, penumpang Perodua Myvi, Hasliza Arini Muhamad@Hamid, 34, dan anaknya, Muhammad Khalish Kautsar Mohd Syaril, 2.

Difahamkan jenazah Nasrul Fakhri akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam dekat Kampung Kenor, Kuala Krai sementara jenazah isteri dan dua anaknya di Kampung Tok Has, Jertih, Terengganu.

Berita berkaitan

Lima maut dua kereta Perodua bertembung

Berita berkaitan

[UPDATE] Hasrat sambut Ramadan bersama tak kesampaian

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 5:20 PM