Foto hiasan
Foto hiasan
Noorazura Abdul Rahman

SUSULAN Perintah Kawalan dan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Amanjaya, Sungai Petani menyebabkan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau yang terletak di 32 kariah di Kuala Muda ditangguhkan.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) Mohd Yusri Md Daud berkata, penetapan masjid dan surau yang terbabit selepas mengikut nasihat serta pandangan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Daerah (JKKD) Khas Isu Covid-19.

"Antara masjid yang terbabit di Kuala Muda adalah Masjid Kariah Pengkalan Lebai Man, Masjid Kariah Kampung Raja, Masjid Kariah Sungai Lalang, Masjid Kariah Sungai Layar Hujung, Masjid Kariah Sungai Layar.

"Selain itu, turut terbabit adalah Masjid Kariah Batu Dua, Masjid Kariah Penghulu Him, Masjid Kariah Taman Ria, Masjid Kariah Taman Bandar Baru dan Masjid Kariah Taman Ria Jaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, selain Kuala Muda, masjid dan surau enam kariah di Kulim dan Baling turut diarah berbuat demikian berkuatkuasa hari ini.

Menurutnya, bagi daerah Kulim ia membabitkan Masjid Kariah Taman Mutiara (Muhammad Al Fateh), Masjid Kariah Padang Meiha (Saidina Umar Al-Khatab), Masjid Kariah Sungai Karangan (Nurul Ehsan), Masjid Kariah Merbau Pulas (Darul Ulum), Masjid Kariah Kulim Hi-Tech (Al-Munawwarah) dan Masjid Kariah Sungai Kob (Al-Ittihad).

Katanya, di Baling pula membabitkan Masjid Kariah Pekan Tawar (Islahiyah), Masjid Kariah Binjul Luar (Darussalam), Masjid Kariah Kuala Ketil (Madinatul Ilmi), Masjid Kariah Kuala Merah (Jamiul Falah), Masjid Kariah Kampung Pantai Chicar (Ar-Rahman) dan Masjid Kariah Kampung Padang Geh.

"Justeru solat Jumaat yang diadakan di masjid dalam kariah yang terbabit turut tidak dibenarkan dan digantikan dengan solat Zohor," katanya.

Beliau turut menjelaskan kebenaran solat fardu berjemaah di masjid dan surau terbabit hanya membenarkan tiga individu sahaja iaitu imam, pegawai masjid serta jawatankuasa kariah.

Katanya, aktiviti keagamaan seperti majlis ilmu, kuliah dan kelas pengajian serta majlis bacaan Yasin turut dilarang.

"Majlis akad nikah di masjid atau surau yang terbabit juga tidak dibenarkan selain pengurusan solat jenazah hanya dibenarkan dilaksanakan di rumah dengan kehadiran pegawai masjid dan ahli keluarga terdekat sahaja," katanya.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, 26 buah masjid dan surau di 26 kariah di lima daerah yang ditutup sebelum ini antaranya membabitkan kawasan berkaitan Kluster Sivagangga dan Kluster Tawar dibenarkan beroperasi semula.

Katanya, daerah terbabit ialah Kuala Muda, Yan, Kota Setar, Kubang Pasu dan Padang Terap.

"Selain itu, masjid dan surau yang dibenarkan aktiviti keagamaan diberi kelonggaran dengan membenarkan jemaah bukan warganegara bermula 1 September ini.

"Namun arahan setiap jemaah untuk membawa sejadah masing-masing sebelum hadir ke masjid atau surau masih dikekalkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 11:45 PM