ZAMRI (dua dari kanan) menunjukkan pelan contoh yang bakal dibangunkan di Taman Seri Impian Kluang Johor. FOTO Mohamad Fahd Rahmat.
ZAMRI (dua dari kanan) menunjukkan pelan contoh yang bakal dibangunkan di Taman Seri Impian Kluang Johor. FOTO Mohamad Fahd Rahmat.
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Dana sebanyak RM3 juta diperlukan untuk pembinaan Masjid Taman Seri Impian di sini bagi membolehkan umat Islam dapat melaksanakan ibadat termasuk aktiviti keagamaan lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Taman Seri Impian Zamri Abdullah berkata, keperluan bagi pembinaan masjid berkenaan amat mendesak berikutan ada penduduk di sini yang majoritinya beragama Islam terpaksa menziarahi masjid di luar kariah khususnya bagi menunaikan solat Jumaat.

Katanya, ini kerana dua surau yang ada di taman berkenaan iaitu Surau Al-Muhajirin dan Surau Al-Kahfi hanya mampu menampung kira-kira 2,000 jemaah pada satu masa dan berkurangan apabila prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Terdapat 14,000 unit kediaman di Taman Seri Impian dan mengikut perancangan pemaju ia akan bertukar status menjadi Bandar Seri Impian pada masa depan.

"Mengikut perancangan asal sebanyak RM7 juta diperlukan bagi membina masjid baru yang boleh memuatkan kira-kira 3,000 jemaah pada satu-satu masa.

"Namun perancangan itu terpaksa diubah mengikut realiti semasa di mana ramai yang terjejas akibat wabak Covid-19 dan ekonomi mereka tidak menentu.

"Disebabkan itu, ahli jawatankuasa berbincang dan bersetuju membuat sasaran baru kutipan sebanyak RM3 juta bagi membina masjid yang boleh menampung kira-kira 1,500 jemaah pada satu-satu masa," katanya ketika ditemui di lokasi tapak pembinaan Masjid Taman Seri Impian di sini.

Beliau berkata, pihaknya mempelawa orang ramai yang ingin melakukan amal jariah untuk menghulurkan sumbangan.

Katanya, ketika ini pihaknya sudah mengumpul kira-kira RM1.2 juta wang sumbangan orang ramai termasuk yang terbaru sumbangan sebanyak RM100,000 daripada Koperasi Tanah Johor.

"Tapak masjid ini seluas kira-kira sembilan ekar dan kami mengambil contoh pelan pembangunan masjid di Taman Seri Kluang yang memiliki dua tingkat dan berharap pihak arkitek yang sedang dilantik ini dapat memberikan nasihat terbaik mengenai pelan pembinaan itu nanti," katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh menghubungi ahli jawatankuasa dilantik iaitu di talian, 0106564809, 01114774948, 0127604908, 0127978512, 0197610484, 0137993932 dan 0177047594 untuk maklumat lanjut mengenai pembinaan masjid berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 5:14 PM