Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Konsep Madani yang dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya yang berteraskan nilai, etika atau akhlak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata istilah Madani yang sememangnya sudah sekian lama diperkenal dan diungkap oleh pemikir, diperkenalkan dalam pentadbiran negara berikutan ia memberi keutamaan kepada soal keyakinan dan kemanusiaan.

Beliau berkata, ketika negara dipacu untuk maju dan kadang kala tercemar kerana salah laku serta rasuah selain keruntuhan nilai, perlu ada kesedaran bersama dalam kalangan semua pihak untuk menghidupkan semula kekuatan leluhur bangsa dari semua kaum dan agama di negara ini yang mempunyai nilai murni yang harus dikembangkan semula.

"Sementara kita bergelut dalam bidang ekonomi, teknologi, dan digital kita pacu pertumbuhan kita, jangan tinggalkan nilai dan kemanusiaan.

"(Ia) kerana meninggalkannya bermakna kita akan menerima fahaman dan mula mengalah serta membiarkan tanpa mengira latar belakang. Tetapi 'permissiveness' sudah menembusi keyakinan kita," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Program Amanat Perdana Menteri : Membangun Malaysia Madani, di sini, hari ini.

Anwar berkata, kerana sikap sedemikian yang sudah menembusi masyarakat, ia membawa kepada fahaman kabilah yang menyebabkan perilaku rasuah dan penyelewengan mudah dikompromi.

Berikutan itu, Perdana Menteri berkata, semua pemimpin sama ada di Kerajaan Persekutuan, negeri mahupun di daerah, serta penjawat awam dari ketua hingga orang bawahan, perlu memanfaatkan pengalaman dan belajar daripada kelemahan lalu dalam membincangkan soal pasca pertumbuhan, pascanormal atau pascacovid, dan mengemukakan tindakan yang bersesuaian dengan tuntutan baharu.

Pada masa sama, Anwar mengingatkan semua pihak terhadap kecenderungan menilai pertumbuhan negara berdasarkan kepada angka, tanpa juga melihat kepada sebab akibatnya.

Beliau berkata, apabila melihat kepada situasi dalam negara, kadar pengangguran walaupun sedikit menurun tetapi ia membabitkan masalah belia dan wanita.

"Saya sebut hal sedemikian ini untuk menunjukkan bahawa kaedah dan cara lama kita tidak dapat menyelesaikan masalah negara dan untuk terpukau dengan angka juga tidak mungkin dapat membantu.

"Maka kita harus menamatkan salah satu ukuran kemajuan dengan pertumbuhan ekonomi saja.

"Ini keghairahan menyebut angka pertumbuhan, pelaburan asing atau angka-angka tanpa menekankan ia membabitkan belia dan wanita, kesan akibat kepada manusia seluruhnya, itu bagi saya tidak akan membantu," katanya.

Perdana Menteri berkata, apabila menyebut mengenai kadar inflasi empat peratus, tetapi inflasi makanan pada kadar tujuh peratus, manakala pengangguran belia dan wanita jauh lebih tinggi.

Meminjam kata-kata Albert Einstein, beliau berkata, apabila bercakap mengenai kadar kemiskinan tegar yang menurun tetapi apabila seseorang itu dalam kategori miskin tegar, dia tidak akan terpukau dengan angka sebaliknya bergelut dengan permasalahan hidup.

Begitu juga, katanya, jika seseorang itu adalah anak muda yang menganggur, dia tidak akan terpukau dengan angka kadar pengangguran menurun kerana tiada jaminan masa depan.

"Begitu juga bicara soal inflasi terkawal tapi bagi orang yang hidup di tahap lebih sukar dan rendah maka permasalahan itu, angka itu tidak membantu.

"Sebab itu saya sebut mengenai ekonomi manusiawi kerana ekonomi manusiawi akan menolak tentunya prinsip 'unbridled capitalism' yang sedikit sebanyak diamalkan kita dulu iaitu golongan mahakaya yang terpilih itu menguasai hampir semua bidang di negara kita, seolah-olah kita dan seluruh jentera kita tidak ada keupayaan mengenal pasti syarikat baharu atau kelompok baharu dilatih diangkat bersama supaya diperluas peluang bagi mereka menguasai," katanya.

 PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menghadiri Majlis Pelancaran Program Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. FOTO Bernama.
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menghadiri Majlis Pelancaran Program Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. FOTO Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 4:17 PM