Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Jemaah Menteri dinasihat supaya tidak mudah berasa selesa dengan prestasi dicapai Kerajaan Perpaduan selepas setahun menerajui pentadbiran negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya berkata, Jemaah Menteri perlu memberi penegasan kepada elemen keselesaan yang akan dinikmati rakyat, sekali gus menjadi ukuran sebenar pencapaian Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Jemaah Menteri perlu berusaha sedaya upaya untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat, tidak hanya memberi tumpuan kepada aspek pertumbuhan ekonomi semata-mata.

"Kadang-kadang apabila jadi pemimpin, semuanya (rasa) terbaik. Sistem pendidikan semuanya nombor satu, kesihatan...terbaik. Kita dengar dulu, tetapi sebenarnya bila lihat kenyataan, tandas pun tak dapat dibaiki, sekolah pun banyak yang robek.

"Jangan kita termakan dengan penyakit keselesaan. Kalau tanya saya, kita buat sedaya upaya tetapi jangan (rasa) ini sudah terlalu baik. Ada lagi keupayaan kita untuk membersihkan dan meningkatkan mutu dan etika kerja kerana akhirnya bukan angka pertumbuhan yang disebutkan.

"Kadar inflasi rendah, tidak siapa boleh pertikai walaupun kita disanggah sebagai gagal, tetapi ternyata kadar inflasi, pertumbuhan dan pengangguran adalah lebih baik," katanya dalam Wawancara Khas Setahun bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri disiarkan TV3, malam ini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, penekanan perlu diberi kepada aspek tata kelola dan pentadbiran bersih, selain jaminan bagi mengelak daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Ini kerana, katanya, mana-mana negara dengan keupayaan tinggi sekali pun tidak mungkin mencapai tahap membanggakan sekiranya isu tata kelola tidak diselesaikan.

"Sebab ini semua pimpinan dipantau dan badan seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) harus beri laporan sama ada gejala salah guna kuasa, kerja sakau-menyakau, apakah pendapatan, kekayaan Perdana Menteri atau menteri itu menonjol tingginya.

"Ini kalau dapat dibersihkan, kita akan dapat melaksanakan beberapa kerangka dasar seperti Ekonomi Madani, peralihan tenaga atau transformasi digital dalam negara ini yang perlu melonjak cepat dan pantas dalam menggunakan digital.

"Alhamdulillah setakat ini, kita sudah capai apa yang mampu dilakukan dan ternyata lebih baik daripada dahulu walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki," kata Ahli Parlimen Tambun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 10:23 PM