GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Biarpun usia sudah tua namun seorang lelaki warga emas yang memiliki 17 rekod jenayah masih aktif melakukan jenayah pecah cermin kereta sebelum berjaya diberkas polis di Jinjang, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek berusia 64 tahun diberkas susulan laporan diterima daripada seorang wanita bekerja sebagai akauntan mendakwa kehilangan dua komputer riba serta wang tunai bernilai RM11,000 selepas cermin keretanya dipecahkan baru-baru ini.

"Susulan itu, kami menahan dua lelaki masing-masing berusia 64 dan 29 tahun dalam serbuan berasingan di Jinjang Selatan dan Rawang, Selangor pada Jumaat dan Sabtu lalu.

"Dalam serbuan itu, kami merampas 11 komputer riba, dua telefon bimbit, tiga kad Touch N Go dan wang tunai kira-kira RM3,500," katanya selepas menghadiri program sempena Tahun Baru Cina di Pasar Pagi Kepong, di sini, tadi.

Eng Lai berkata, hasil siasatan mendapati suspek lelaki warga emas itu akan memerhatikan mangsa yang meletakkan kenderaan berhampiran kedai makan.

Beh Eng Lai (dua dari kiri) menunjukkan gambar barang rampasan dalam serbuan tangkapan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian pecah cermin kereta di Jinjang, 11 Januari lalu, pada sidang media di Pasar Pagi Kepong, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Beh Eng Lai (dua dari kiri) menunjukkan gambar barang rampasan dalam serbuan tangkapan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian pecah cermin kereta di Jinjang, 11 Januari lalu, pada sidang media di Pasar Pagi Kepong, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO IHSAN PDRM

"Suspek kemudian akan mengumpil cermin pintu belakang kereta menggunakan pemutar skru sebelum mengambil beg komputer riba yang diletakkan di dalam kenderaan.

"Suspek lelaki warga emas itu kemudian akan menjual komputer riba berkenaan kepada suspek berusia 29 tahun yang juga peniaga kedai telefon bimbit dan komputer di sebuah pusat beli-belah di Jinjang," katanya.

Katanya, susulan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 11 kes curi komputer riba dalam kereta di daerah ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 2:19 PM