ASISTEN Komisioner Beh Eng Lai menunjukkan kenderaan dipandu suspek ketika sidang media di Balai Polis Jinjang, di sini. FOTO NURUL HIDAYAH BAHAUDIN
ASISTEN Komisioner Beh Eng Lai menunjukkan kenderaan dipandu suspek ketika sidang media di Balai Polis Jinjang, di sini. FOTO NURUL HIDAYAH BAHAUDIN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Perselisihan faham ketika mabuk dipercayai menjadi punca seorang peladang maut selepas dilanggar kereta dipandu rakannya dalam kejadian di Jalan Rimbunan Raya 1, Kepong, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan dibuat isteri mangsa jam 5.30 petang, kelmarin, yang memaklumkan suaminya berusia 48 tahun meninggal dunia di hadapan sebuah bank di lokasi terbabit.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati mangsa ada bertengkar mulut dengan dua lelaki yang juga rakannya ketika minum di sebuah kedai di Metro Prima Kepong jam 12.30 tengah malam, kelmarin.

"Selepas pertengkaran itu dileraikan, mangsa beredar dengan rakan wanitanya menaiki kenderaan utiliti sukan Honda HRV milik lelaki berkenaan," katanya pada sidang media di Balai Polis Jinjang, di sini, hari ini.

Beh berkata, mangsa kemudian menyedari kenderannya diekori sebuah SUV Kia Sportage menyebabkan dia memberhentikan kenderaan di tepi jalan.

"Sebaik mangsa keluar dari kenderaannya, suspek bertindak melanggar mangsa sehingga dia terjatuh sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

"Mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia jam 4.40 petang, kelmarin.

Hasil bedah siasat dilakukan mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan di kepala," katanya.

Beliau berkata, susulan laporan itu, pihaknya melakukan tiga serbuan, semalam di Kepong dan Rawang, Selangor yang membawa kepada penahanan dua lelaki serta seorang wanita berusia antara 32 hingga 44 tahun.

"Dalam serbuan itu juga, kami merampas dua kenderaan iaitu Honda HRV milik mangsa dan Kia Sportage yang dipandu suspek utama yang juga pembekal makanan laut berusia 38 tahun ketika kejadian.

"Dengan penahanan tiga suspek terbabit, kami berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh kurang 24 jam," katanya.

Katanya, semakan dilakukan mendapati dua suspek lelaki mempunyai rekod jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod.

"Semua suspek terbabit direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 22 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 1:41 PM