GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan dua lelaki menjadi ejen tambah nilai permainan judi dalam talian sejak dua bulan lalu terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan berasingan di Kepong dan Jinjang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya melakukan serbuan di dua lokasi berkenaan jam 5.10 petang hingga 6.45 petang.

"Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki masing-masing berusia 45 dan 70 tahun yang dipercayai menjadi ejen tambah nilai permainan judi dalam talian di sekitar kawasan Kepong dan Jinjang sejak dua bulan lalu.

"Kami turut merampas dua telefon bimbit, dua kad sim dan wang tunai berjumlah RM135 dalam serbuan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, siasatan awal dilakukan mendapati kegiatan itu beroperasi di sekitar tepi jalan dan kaki lima deretan kedai dengan menggunakan telefon bimbit sebagai medium untuk membuat transaksi.

"Sebagai ejen tambah nilai, mereka akan menerima gaji tetap setiap bulan dan hasil jualan tambah nilai kedua-dua suspek berkenaan akan dikutip seorang lelaki yang sudah dikenal pasti identitinya.

"Kedua-dua suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti jenayah termasuk kegiatan judi dalam talian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 9:47 AM