UBAT bius dalam bentuk gas diberikan melalui alat pernafasan.
UBAT bius dalam bentuk gas diberikan melalui alat pernafasan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PEMBEDAHAN dilakukan untuk merawat penyakit dan kecederaan selain mengembalikan fungsi tubuh pesakit.

Sebelum pembedahan dilaksanakan, pesakit terlebih dahulu perlu dibius untuk mematikan isyarat saraf yang akan membuatkan pesakit tidak rasa sakit ketika pembedahan.

Namun, dalam setiap prosedur pembedahan dan pembiusan, ada beberapa risiko tertentu yang perlu dipertimbangkan bergantung kepada lokasi dan jenis pembedahan.

Pakar Bedah Ortopedik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Pahang, Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed berkata, ada tiga risiko utama pembedahan iaitu pendarahan, kecederaan dan jangkitan kuman.

"Risiko pendarahan yang mungkin berlaku bergantung kepada bahagian pembedahan. Contoh, pembedahan pada tulang paha dan tulang pinggul lazimnya membabitkan pendarahan besar.

"Sebelum pembedahan, pakar bedah akan menyediakan bekalan darah sebagai persediaan sekiranya berlaku perkara tidak dijangka," katanya.

Beliau berkata, risiko kedua ialah kecederaan pada struktur berhampiran kawasan pembedahan.

"Contohnya jika pembedahan tulang belakang iaitu Skoliosis bagi membetulkan tulang yang bengkok dengan cara memasukkan besi sememangnya ada risiko kecederaan pada saraf.

"Bagaimanapun, kecederaan ini (saraf) dapat diminimumkan dengan penggunaan alat khusus ketika pembedahan," katanya.

UBAT bius menerusi suntikan tulang belakang.
UBAT bius menerusi suntikan tulang belakang.

Dr Mahyuddin berkata, risiko terakhir ialah jangkitan kuman.

Bagaimanapun, ia dapat dikurangkan dengan pemberian antibiotik sebelum pembedahan, mencuci peralatan pembedahan dengan betul, penggunaan teknik pembedahan terkini dan mengurangkan bilangan kakitangan dalam dewan bedah.

Sementara itu, Pakar Bius HOSHAS, Dr Nazatul Shahnaz Mohd Nazri berkata, teknik pembiusan terbahagi kepada tiga jenis iaitu bius penuh, bius separuh dan blok (bius pada saraf tertentu seperti tangan).

Katanya, empat golongan pesakit mempunyai risiko bius yang lebih tinggi berbanding pesakit lain.

"Pertama, individu tidak sihat kerana demam, sakit tekak, batuk dan selesema.

"Apabila proses pembiusan penuh hendak dilakukan, pakar bius perlu memasukkan tiub pernafasan dalam mulut ke kerongkong hingga paru-paru untuk memberikan oksigen kepada pesakit ketika pembedahan.

"Bagi pesakit yang sakit tekak, keadaan tekak menjadi merah dan juga sakit. Ketika pembedahan, tekak dan paru-paru boleh mengecut secara tiba-tiba menyebabkan tahap oksigen dalam badan pesakit menjadi rendah," katanya.

Menurutnya, individu yang merokok juga berisiko kerana bahagian tekak dan paru-paru terjejas disebabkan nikotin pada rokok.

"Ia lebih bermasalah bagi pesakit yang perlu menjalani pembedahan kecemasan (serta-merta) berbanding pembedahan elektif.

"Ini kerana pesakit bagi pembedahan elektif boleh merancang berhenti merokok sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pembedahan," katanya.

Dr Nazatul Shahnaz berkata, golongan ketiga ialah individu obes yang sangat berisiko tinggi mendapat komplikasi semasa pembiusan.

"Pakar bius terpaksa menggunakan jarum panjang untuk memberi bius bahagian belakang (bius separuh) kerana sukar mencari ruang pada tulang berkenaan disebabkan lapisan
lemak yang tebal," katanya.

Katanya, golongan berisiko terakhir ialah pesakit yang menghidap masalah jantung, darah tinggi, kencing manis dan degupan jantung tidak sekata.

"Mereka perlu dimasukkan ke hospital lebih awal untuk menstabilkan kesihatannya. Contoh, pesakit darah tinggi akan diberikan ubat jika tekanan darahnya terlalu tinggi.

"Sekiranya pembiusan dilakukan ketika tekanan darah tinggi tidak stabil, risikonya juga tinggi kerana pesakit boleh terkena serangan jantung dan angin ahmar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 6:30 AM