GAMBAR tular memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam polis bersama orang awam yang sedang memegang senjata api.
GAMBAR tular memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam polis bersama orang awam yang sedang memegang senjata api.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung tindakan seorang anggotanya yang membenarkan rakannya yang juga orang awam memegang dan bergambar dengan senjata api.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan gambar yang memaparkan anggota berpakaian seragam polis dengan orang awam itu tular di media sosial Twitter menerusi satu akaun bernama @evvok.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati anggota polis itu bertugas di Balai Polis Taman Johor Jaya, manakala lelaki yang memegang senjata api jenis HK-MP5 itu adalah rakannya.

"Gambar berkenaan diambil oleh seorang lagi orang awam pada 2.43 pagi semalam di hadapan balai polis berkenaan.

"Ketika gambar itu diambil, anggota polis berkenaan sedang bertugas membuat pengawalan di Pos Pengawal Balai Polis berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, tujuan gambar itu diambil adalah sebagai kenang-kenangan, namun ia dimuat naik ke media sosial sehingga menjadi tular.

"Orang awam yang memegang senjata api dan juga seorang lagi individu awam yang mengambil gambar berkenaan adalah rakan kepada anggota polis berkenaan dan semuanya berusia 25 tahun," katanya.

Mohd Sohaimi turut memberitahu, tindakan anggota polis berkenaan membenarkan orang awam memegang senjata api ketika bertugas adalah satu kesalahan yang melanggar tatakelakuan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.

"Anggota terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," jelasnya.

Terdahulu, tular gambar yang memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam polis sedang menghisap rokok bersama seorang orang awam yang sedang memegang senjata api.

Satu lagi gambar menunjukkan orang awam itu membuat gaya seperti mengacukan senjata api itu ke arah anggota polis terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 5:50 PM