129 warga Filipina yang dihantar ke negara asal. -FOTO ihsan JIM Sabah
129 warga Filipina yang dihantar ke negara asal. -FOTO ihsan JIM Sabah
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Jabatan Imigresen (JIM) melaksanakan Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) Siri 01 untuk Kategori Usir Melalui Laut bagi Januari tahun ini, dengan mengusir 129 warga Filipina, semalam.

Program pemindahan terbabit dilaksanakan melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

Pengarah JIM Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, jumlah terbabit membabitkan 81 tahanan lelaki, perempuan (25), kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah (17) dan kanak-kanak berusia 23 bulan ke bawah (6).

"Bagi tahanan dewasa purata umur adalah dari 12 tahun sehingga 70 tahun. Kanak-kanak yang terbabit dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing.

"Kesemua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1. Pati yang terbabit hanya tahanan warga Filipina dari Depot Imigresen Tawau sahaja," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kesemua Pati yang ditahan di Depot Imigresen itu melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, hukuman yang dikenakan berdasarkan akta dan proses perundangan negara sehingga kepada tindakan pemindahan keluar dari negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 11:16 AM