SEBAHAGIAN warga Filipina yang dihantar kembali ke negara asal oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di Pelabuhan Sandakan. FOTO ihsan JIM
SEBAHAGIAN warga Filipina yang dihantar kembali ke negara asal oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di Pelabuhan Sandakan. FOTO ihsan JIM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seramai 200 pendatang asing tanpa izin (Pati) warganegara Filipina diusir ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Pati Siri 3, melalui Pelabuhan Sandakan dekat sini, semalam.

Semua warga asing itu sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Papar dihantar ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan pengangkutan laut.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, mereka membabitkan 145 lelaki, 31 wanita dan 24 kanak-kanak.

"Semua kanak-kanak yang terbabit dengan penghantaran pulang dihantar bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing.

"Semua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan feri MV Antonia 1," katanya pada kenyataan hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, semua warga asing terbabit ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

SH Sitti Saleha berkata, operasi pemindahan itu sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah.

"JIM Sabah ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam operasi pengusiran ini, khususnya Kerajaan Negeri Sabah dan kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan," katanya.

Tambah beliau lagi, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan warga asing.

"Ia dijalankan selepas semua warga asing terbabit melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 11:13 AM