PATI yang dihantar pulang ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Sandakan. FOTO Ihsan JIM
PATI yang dihantar pulang ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Sandakan. FOTO Ihsan JIM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seramai 680 pendatang asing tanpa izin (Pati) dihantar ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan, semalam.

Semua Pati yang ditahan di Depot Imigresen Sandakan itu dipindahkan menggunakan pengangkutan laut MV Antonia ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, ia membabitkan seramai 552 lelaki, 93 wanita dan 31 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun serta empat bayi.

"Ini adalah program pemindahan siri 1 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing.

"Semua Pati yang ditahan di Depot Imigresen ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

Katanya, Jabatan Imigresen Sabah akan terus melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

"Semua agensi penguatkuasaan di Sabah juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 2:13 PM