GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain

Kuala Langat: Seorang kerani kewangan di institusi kewangan swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok di sini, semalam, kerana gagal membayar parkir.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan meletakkan kenderaan di tempat letak kereta tanpa bayaran.

"Tertuduh dikenakan denda RM250 dan membayar denda berkenaan.

"Semakan mendapati, tertuduh sebelum ini dikenakan sebanyak 63 notis kesalahan," katanya tadi.

Amirul Azizan berkata, Majistret Mahkamah Telok Datok, Khairul Farhi Yusob turut mengeluarkan sebanyak lima waran tangkap terhadap lima tertuduh lain di bawah kesalahan sama.

"Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Kanan, MPKL Hasrizal Abd Rahim dan dibantu oleh Pegawai Pendakwa, MPKL, Ahmad Razali Abdul Manaf," katanya.

Sehubungan itu katanya, MPKL mengadakan promosi pengurangan bayaran kompaun tempat letak kereta bermula 9 September ini hingga 9 September tahun depan.

"Promosi pengurangan selama tempoh setahun ini bersempena sambutan pertama pengisytiharan MPKL yang pertama.

"MPKL memberikan potongan sehingga 80 peratus, kompaun tahun 2019 dan sebelum sebanyak RM15 manakala kompaun tahun 2020 hingga semasa sebanyak RM10 sahaja.

"MPKL menyeru kepada penduduk Kuala Langat agar mengambil peluang promosi ini supaya membayar kompaun tempat letak kereta bagi mengelakkan daripada tindakan mahkamah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 11:04 PM