PENDUDUK Pos Balar dinasihatkan tidak mendekati beruang jika terlihat binatang itu.
PENDUDUK Pos Balar dinasihatkan tidak mendekati beruang jika terlihat binatang itu.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Sebanyak 24 lampu diod pemancar cahaya (LED) dipasang di Pos Balar, Rantau Panjang sebagai usaha mengelak kehadiran beruang yang didakwa memusnahkan kawasan kubur selain memakan mayat penduduk Orang Asli.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, lampu LED itu dipasang semalam selepas sepasukan anggota Perhilitan berjaya sampai ke Pos Balar selepas menempuh tujuh jam perjalanan.

"Kita sudah memasang 24 unit lampu LED di pos berkenaan bagi mengelak daripada kehadiran beruang sekali gus diharap dapat mengekang gangguan beruang terhadap penduduk Orang Asli," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kemunculan seekor beruang dewasa di Kampung Dakoh, Pos Balar membimbangkan lebih 100 penduduk Orang Asli suku Temiar kerana haiwan itu didakwa memusnahkan kubur dan memakan mayat.

Dalam kejadian pada 27 Disember lalu, penduduk mendakwa beruang terbabit menggali kubur mendiang Amek Along, 48, selain memakan sebahagian badannya.

Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata, pihaknya akan sentiasa memantau pos berkenaan dan berharap penduduk Orang Asli tidak mendekati binatang berkenaan sekiranya terserempak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 5:11 PM