AMEE diusung menaiki helikopter dikejar ke Hospital Gua Musang (HGM) kerana derita kanser payu dara dan demam panas mengigil untuk menerima rawatan. FOTO ihsan JBPM
AMEE diusung menaiki helikopter dikejar ke Hospital Gua Musang (HGM) kerana derita kanser payu dara dan demam panas mengigil untuk menerima rawatan. FOTO ihsan JBPM
Ramli Ibrahim


UNIT Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan penerbangan ihsan bagi membawa seorang wanita Orang Asli yang menghidap kanser payu dara ke Hospital Gua Musang (HGM), hari ini.

Amee Busu, 57, yang tinggal di Kampung Dakoh, Pos Balar, Gua Musang menghadapi kesukaran melalui jalan darat untuk pergi mendapatkan rawatan di hospital.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang Mohd Farhan Marzuki berkata, tindakan itu dibuat selepas menerima laporan berhubung perkara terbabit daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli, Gombak pada jam 10 pagi.

Beliau berkata, penerbangan ihsan menggunakan helikopter Agusta AW 139 (9M-BOD) itu kemudian mendarat di Kampung Dakoh pada jam 1.20 tengah hari.

"Sebaik mengambil pesakit terbabit yang turut demam panas hingga mengigil, helikopter itu mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada jam 1.45 tengah hari," katanya.

Mohd Farhan berkata, pesakit yang dalam keadaan stabil dibawa ke HGM dengan menggunakan jentera EMRS ditemani suaminya, Biyor Angah, 59.

"Buat masa ini, kita tidak ada masalah untuk mengadakan penerbangan ihsan jika ada permohonan walaupun pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.

Menurutnya, penerbangan terbabit diketuai juruterbang Sorian Ahmed dan dibantu penolong juruterbang Mohd Zukhairee Zabidi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 3:18 PM