Pemandangan dari udara kawasan hutan di daerah ini yang didakwa diteroka secara tidak terkawal oleh Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan(JKOAK). FOTO Paya Linda Yahya 
Pemandangan dari udara kawasan hutan di daerah ini yang didakwa diteroka secara tidak terkawal oleh Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan(JKOAK). FOTO Paya Linda Yahya 
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) mendakwa pembukaan kawasan hutan secara tidak terkawal untuk aktiviti pembalakan dan pertanian menjadi punca berlakunya krisis antara hidupan liar dan manusia sehingga menyebabkan masyarakat Orang Asli menjadi mangsa.

Justeru mereka mendesak kerajaan negeri dapat menghentikan kelulusan kawasan pembalakan, perladangan atau projek mega yang membabitkan proses penyahutanan terutamanya di kawasan perkampungan Orang Asli di Ulu Kelantan.

Pengerusinya, Mustafa Along berkata, pihaknya percaya krisis antara hidupan liar dan manusia yang semakin meruncing disebabkan kemusnahan ekosistem alam kerana aktiviti pembalakan dan pembukaan ladang mega di kawasan Ulu Kelantan.

"Sejak kebelakangan ini, cerita yang berkaitan krisis hidupan liar dengan manusia semakin kerap kita dengar dan kumpulan yang sering menjadi mangsa adalah masyarakat Orang Asli yang tinggal di pedalaman.

"Situasi ini dibimbangi akan menjadi semakin parah apabila Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri siap dibina kelak, susulan kawasan hutan yang semakin merosot.

"Situasi sama dapat dilihat berlaku di Kampung Sau, Pos Bihai apabila kawasan hutan sekitar kampung Orang Asli digondolkan untuk aktiviti pembalakan yang akhirnya menyebabkan kehilangan nyawa Orang Asli," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mustafa berkata, pembukaan hutan secara tidak terkawal tidak hanya menyebabkan krisis hidupan liar dan manusia malah menjejaskan bekalan makanan masyarakat Orang Asli apabila kebun mereka menjadi mangsa serangan gajah liar.

"Terdapat juga kes yang membabitkan kubur Orang Asli yang dicerobohi oleh hidupan liar seperti beruang, sebagai mana yang berlaku di Kampung Dakoh, Pos Balar.

"Kami bimbang sekiranya masalah ini tidak diatasi dengan segera, tekanan yang dihadapi oleh Orang Asli akan menyebabkan tindakan di luar jangka terpaksa diambil oleh penduduk," katanya.

Oleh itu katanya, penduduk Orang Asli mendesak kerajaan negeri menghentikan kelulusan kawasan pembalakan, perladangan atau projek mega termasuklah kelulusan yang sudah dan sedang dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK).

"Kami juga menggesa agar undang-undang berkaitan seperti perhutanan dan hidupan liar dikaji semula memandangkan terdapatnya percanggahan di dalam kedua-dua undang-undang ini.

"Percanggahan ini dapat dilihat dengan jelas dengan kedudukan istimewa kerajaan negeri dalam memberi kebenaran bagi mengusahakan hasil kawasan tanah berhutan, seperti nyatakan di Akta 313, Perhutanan Negara 1984.

"Manakala Kerajaan Persekutuan memainkan peranan memastikan kelangsungan kewujudan hidupan liar, sebagai mana termaktub dalam Akta 716, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 1972," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 1:29 PM