GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan mengambil tindakan sewajarnya apabila memasuki kawasan Pos Balar, Gua Musang yang didakwa terdapat gangguan beruang.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, perjalanan untuk memasuki pos berkenaan mengambil masa selama lima jam dan ia bergantung kepada keadaan cuaca.

Menurutnya, terdapat kesukaran memasuki kawasan berkenaan memandangkan cuaca hujan yang menyebabkan jalan ke kawasan itu agak teruk.

"Sekiranya dapat memasuki kawasan itu, kita akan memasang lampu diod pemancar cahaya (LED) untuk memastikan beruang liar itu tidak datang selain memasang perangkap jejak.

"Pada masa sama, saya menasihatkan penduduk kampung terutama penduduk Orang Asli tidak sesekali menghampiri atau mengambil tindakan sendiri terhadap beruang sekiranya ternampak binatang itu.

"Ini kerana kita tidak mahu sebarang kejadian buruk berlaku," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, media melaporkan kemunculan seekor beruang dewasa di Kampung Dakoh, Pos Balar yang membimbangkan lebih 100 penduduk Orang Asli suku Temiar kerana haiwan itu didakwa memusnahkan kubur dan memakan mayat.

Dalam kejadian pada 27 Disember lalu, penduduk mendakwa beruang terbabit menggali kubur mendiang Amek Along, 48, selain memakan sebahagian badannya.

Ketika ditanya berhubung ancaman gajah, Mohamad Hafid berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk termasuk video tular menyaksikan gajah mengambil makanan dari tingkap dapur.

Bagaimanapun katanya, gajah berkenaan sudah lari ke dalam hutan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 3:36 PM