SUAMI isteri ditahan reman untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan salah guna kuasa dan tuntutan butir matan palsu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
SUAMI isteri ditahan reman untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan salah guna kuasa dan tuntutan butir matan palsu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bekas ahli majlis badan kerajaan di Terengganu dan isterinya direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu.

Perintah reman terhadap lelaki 63 tahun itu dan isterinya yang berusia 40 tahun dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 23 (1) dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Lelaki ditahan di pejabat SPRM Terengganu pada 2.15 petang semalam, manakala isterinya pula ditahan di pejabatnya di negeri ini kira-kira 2.30 petang hari sama.

Bekas ahli majlis itu didakwa menggunakan jawatannya berkaitan perlantikan isteri yang juga pemilik sebuah syarikat sebagai amil zakat, berhubung tuntutan wakalah yang dipercayai mempunyai butir matan palsu.

Lantikan syarikat itu membolehkannya memperoleh komisyen sehingga RM600,000 dengan kesalahan dipercayai dilakukan antara 2019 hingga 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 1:22 PM