ALOR SETAR 09 JANUARI 2023. Resit yang ditular di laman sosial FB memaparkan caj pengendalian telur yang tidak sepatutnya dikenakan kepada pengguna.NSTP/Tular FB
ALOR SETAR 09 JANUARI 2023. Resit yang ditular di laman sosial FB memaparkan caj pengendalian telur yang tidak sepatutnya dikenakan kepada pengguna.NSTP/Tular FB
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menyifatkan tindakan sebuah kedai runcit di Mukim Naga, di sini yang mengenakan caj pengendalian RM3 untuk setiap papan telur seperti tular di media sosial tidak sepatutnya berlaku.

Isu itu timbul semalam selepas seorang pengguna Facebook (FB) berkongsi resit pembelian telur termasuk caj pengendalian sebanyak RM6 bagi dua papan telur gred D.

Tindakan peniaga kedai terbabit turut mendapat kecaman warganet.

Presiden CAKE, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, tindakan peniaga itu perlu diambil perhatian oleh pihak berkuasa dan tidak masuk akal.

Beliau berkata, pihaknya akan membawa isu ini ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya tindakan segera diambil.

"Saya nampak dalam hal ini seperti ada yang ambil kesempatan dan berharap tindakan segera perlu diambil untuk mengatasi masalah ini.

"Caj pengendalian telur ini tidak perlu ada dalam apa akta sekali pun dan ianya dikira seperti caj tersembunyi malah pengguna boleh membuat laporan melalui CAKE atau terus kepada KPDN untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Yusrizal berkata, pihaknya berharap peniaga tidak mengambil kesempatan ketika isu telur sedang hangat diperkatakan ketika ini untuk mengenakan caj yang tidak sepatutnya.

Beliau berkata, pengguna boleh membuat aduan menerusi laman sosial FB CAKE atau emel serta membuat laporan di pejabat KPDN berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 6:14 PM