BEBERAPA Adun yang berkumpul di Sri Gaya, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan.
BEBERAPA Adun yang berkumpul di Sri Gaya, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Semua 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkumpul di Sri Gaya, di sini, petang ini, bagi membincangkan persediaan Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (Dun) yang diadakan esok.

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Masidi Manjun, berkata tiada isu lain yang dibincangkan dalam perjumpaan hari ini, sebaliknya ia adalah perbincangan bagi menyelaraskan perjalanan Persidangan Khas Dun.

"Semua 44 Adun berkumpul bagi membincangkan persediaan Persidangan Khas Dun esok yang akan membentangkan dua usul rang undang-undang (RUU).

"Kita tiada bincang hal lain (dalam perjumpaan ini). Kita hanya bincang soal penyelarasan untuk persidangan esok, contohnya siapa yang akan berucap," katanya ketika ditemui pemberita, petang ini.

Adun terbabit terdiri daripada 29 mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), diikuti tujuh Adun Pakatan Harapan (PH) Sabah, Umno (lima) dan masing-masing seorang Adun Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Pas dan Bebas.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata RUU yang akan dibentangkan esok berkaitan dengan enakmen penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Sabah dan enakmen penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah.

Katanya, semua Adun perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan menghadiri persidangan khas itu dan bersidang secara matang bagi meluluskan kedua-dua RUU terbabit.

"Kita berharap semua YB (Yang Berhormat) bersikap matang, datang ke Dun untuk menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat bagi meluluskan dua RUU yang akan dibentangkan esok.

"RUU itu penting kerana ia ada kaitan dengan autonomi Sabah untuk mengurus sendiri hal ehwal gas. Sebelum ini ia di bawah Suruhanjaya Tenaga (ST) persekutuan dan PETRONAS.

"Ini adalah antara hasil rundingan kerajaan negeri berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.

Ditanya sama ada rombakan Kabinet yang disebut Hajiji sebelum ini ada dibincangkan dalam perjumpaan itu, Masidi berkata perkara itu juga tidak dibincangkan.

"Tiada bincang mengenai politik, kami cuti daripada politik hari ini. Rombakan Kabinet pun tidak dibincangkan, fokus kita adalah bekerja," katanya.

Persidangan khas Dun esok bakal menjadi tumpuan selepas Barisan Nasional (BN) dan Umno mengumumkan menarik sokongan yang diberikan kepada kerajaan negeri pimpinan Hajiji sejak Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 5:26 PM