Datuk Christina Liew. FOTO Arkib NSTP
Datuk Christina Liew. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Pakatan Harapan (PH) Sabah menafikan ada memberikan akuan bersumpah menyokong mana-mana pihak selepas tahun 2020.

Perkara terbabit dijelaskan dalam satu kenyataan media bersama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, Datuk Christina Liew, ADUN Tanjung Papat, Datuk Fung Ming Poon, ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe, ADUN Kepayan, Jannie Lasimbang, ADUN Likas, Tan Lee Fatt dan ADUN Inanam, Peto Galim, hari ini.

"Kami memerhati dengan serius perkembangan politik di Sabah dan sudah mengadakan perbincangan sesama ADUN PH Sabah seramai tujuh orang.

"Kami ingin memaklumkan tidak memberikan akuan bersumpah menyokong mana-mana pihak selepas tahun 2020.

"Jika ada pihak yang mendakwa mendapat sokongan daripada kami, maka ia tidak benar melainkan kenyataan terakhir kami selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang terakhir pada November 2022 yang lalu.

"Kami juga menyatakan pendirian dan keputusan secara en-bloc untuk memastikan kestabilan politik Sabah dibina agar tadbir urus pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar," jelas dalam kenyataan terbabit.

Pada 25 November lalu, tujuh ADUN PH Sabah menyatakan sokongan serta komitmen untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri sehingga penggal DUN berakhir pada 2025.

Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, berkata kesemua mereka juga sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembangunan dan perjuangan hak Sabah dapat dijayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 8:25 PM