SHAHELMEY Yahya. Foto Arkib NSTP.
SHAHELMEY Yahya. Foto Arkib NSTP.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, mengulangi pendiriannya untuk terus menyokong kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meskipun berdepan tindakan daripada Umno.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah itu adalah antara lima Adun Umno yang tidak bersetuju dengan tindakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang membawa Barisan Nasional (BN) dan Umno keluar dari kerajaan negeri.

Beliau juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa tiada alasan untuk mengubah kerajaan negeri sedia ada yang dipimpin Hajiji.

Katanya, pada masa yang sama beliau juga tidak mengubah pendirian terhadap Umno dan menganggap dirinya masih ahli parti itu.

"Sokongan saya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tidak berubah sebab tiada alasan untuk kita mengubah kerajaan negeri yang ada sekarang.

"Saya juga tidak mengubah pendirian terhadap parti dan saya masih ahli Umno. Kalau ada tindakan terhadap saya, saya serahkan kepada parti," katanya ditemui pada perjumpaan semua Adun yang menyokong Hajiji di Sri Gaya, di sini, petang tadi.

Empat lagi Adun Umno yang menyokong Hajiji ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk James Ratib (Sugut).

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata mereka berlima sudah menghantar akuan bersumpah (SD) sebagai sokongan kepada Hajiji.

Mengenai kedudukannya sebagai Ahli Parlimen, beliau berkata perkara itu juga diserahkan kepada parti untuk mengambil sebarang tindakan terhadapnya.

"Bung Moktar juga tahu pendirian saya dan ia kekal," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Datuk Ewon Benedick, berkata beliau sebagai seorang daripada tujuh ADUN mewakili Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian menyokong Hajiji seperti disuarakan mereka sebelum ini.

Katanya, pendirian itu juga sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH.

"Pendirian kita tidak berubah, kita tidak menyokong kerajaan yang dibentuk melalui pintu belakang," katanya yang juga Adun Kadamaian.

Adun DAP bagi kawasan Luyang, Phoong Jin Zhe, pula berkata pengalaman PH menjadi mangsa tindakan pembentukan kerajaan pintu belakang sebelum ini menjadi pengajaran yang cukup bermakna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 7:08 PM