TAN Sri Musa Aman. FOTO Arkib NSTP
TAN Sri Musa Aman. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Pakatan Harapan (PH) Sabah menafikan laporan berita tempatan mengaitkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dikatakan bakal mengetuai gabungan tersebut.

Dalam satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan PH Sabah hari ini menjelaskan bahawa laporan berita yang tular dalam media sosial bertajuk "Musa Aman akan ketuai PH Sabah?" menimbulkan kekeliruan rakyat.

"PH Sabah amat terkejut dengan laporan berita itu yang tular dalam media sosial dan menimbulkan kekeliruan serta kerisauan rakyat.

"Kami secara sebulat suara menafikan perkara ini dan ia tidak sesekali dibincang dan diputuskan dalam mana-mana mesyuarat PH Sabah," jelas dalam kenyataan terbabit.

PH Sabah berpendirian bahawa mana-mana keputusan mustahak yang berhubung kait dengan mandat dan keyakinan rakyat seharusnya dipertimbangkan, diteliti dan diperhalusi sebulat suara pada peringkat pimpinan tertinggi.

Menurut kenyataan itu lagi, PH Sabah akan bertemu dan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincang perkara terbabit termasuk halatuju menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan nanti.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama pemimpin PH Sabah iaitu Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Sangkar Rasam, Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon dan Pengerusi AMANAH Sabah Lahirul Latigu.

\

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 7:51 PM