AHMAD Zahid dan Mohamad. FOTO arkib NSTP
AHMAD Zahid dan Mohamad. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak perlu dipertandingkan kerana tumpuan ketika ini adalah mengukuhkan parti.

Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, gabungan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyandang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno dilihat mampu menerajui parti dalam landskap politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Mustapha berkata, kedua-dua pemimpin utama Umno itu dilihat sesuai dan mampu bagi memenuhi agenda pengukuhan parti yang sudah berusia lebih 70 tahun itu.

"Dalam keadaan seperti ini, apa keperluan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan? Adakah memegang jawatan utama lebih penting berbanding menyokong pemimpin sedia ada merangka agenda membetulkan parti?

"Umno perlu lihat bagaimana parti dipandang sepi ketika Ahmad Zahid tidak menganggotai Kabinet sebelum ini. Adakah keadaan sedemikian yang dimahukan ahli atau pemimpin tertentu dalam Umno?" katanya.

Cadangan supaya dua jawatan tertinggi Umno itu tidak dipertandingkan dijangka dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 pada 11 hingga 14 Januari ini.

PAU 2022 yang asalnya dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember tahun lalu ditangguhkan kerana tarikh berkenaan bertembung dengan cuti persekolahan dan perhimpunan parti Melayu terbesar itu tidak membabitkan pemilihan parti.

Berdasarkan pindaan perlembagaan Umno tahun lalu, pemilihan parti akan diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

Sementara itu, Mustapha tidak menolak kemungkinan desakan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno dipertandingkan susulan agenda segelintir pemimpin tertentu yang mahu parti itu diterajui individu tertentu, biarpun calon cuba diketengahkan belum terbukti ketokohannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 4:18 PM