Veena Babulal dan Mohd Nasaruddin Parzi

MAJLIS Tertinggi (MT) UMNO memutuskan semua jawatan tertinggi parti termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden serta ketua sayap dipertandingkan, pada pemilihan kali ini.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekali gus menjelaskan bahawa tidak timbul lagi soal tiada pertandingan bagi jawatan tertentu dalam UMNO.

"Semua jawatan yang ada mengikut perlembagaan dan peraturan UMNO terbuka dan bebas untuk dipertandingkan.

"Saya secara berlapang dada dan berfikiran terbuka mahu jawatan ini ditandingi sesiapa saja yang berkelayakan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Tan Sri Annuar Musa serta Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Cadangan supaya semua jawatan parti dipertandingkan disentuh Khairy, sebelum disokong beberapa pimpinan UMNO di peringkat negeri dan bahagian.

Bagi tujuan itu, Ahmad Zahid menjelaskan, UMNO akan membuka pendaftaran secara dalam talian untuk mereka yang mahu menawarkan diri bertanding di peringkat nasional, bermula 1 Jun sehingga 17 Jun ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum pemilihan UMNO bermula, beliau yang dipilih menerajui sementara UMNO akan meneruskan tanggungjawab dan amanah bagi menyelesaikan beberapa isu berkaitan parti.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga meminta komponen Barisan Nasional (BN) termasuk di Sabah dan Sarawak memperkukuhkan barisan bagi meneruskan agenda perjuangan parti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 8:26 PM