AHMAD. FOTO arkib NSTP
AHMAD. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Pontian: Umno menafikan terdapat perbincangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, isu itu langsung tidak berbangkit atau dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi.

Sehubungan itu, Ahmad mengecam penularan infografik tular kononnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak akan ditandingi.

"Tak ada sebarang perbincangan pun mengenai tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti.

"Ia tidak dibincangkan malam tadi. Itu (infografik tular) mamat tepi jalan yang buat. Janganlah percaya, semua kena tipu saja," katanya selepas meninjau Program Khatan Perdana Masjid Kampung Jawa Ulu, di sini, hari ini.

Dalam infografik yang tular sejak kelmarin itu, ia antara lain memaklumkan Umno dijangka meminda Perlembagaan bagi menetapkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi.

Ia turut memaparkan kononnya pindaan Perlembagaan itu akan dilakukan pada perhimpunan khas selain jika pindaan berjaya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengetuai Umno pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Disember ini ditunda pada 11 hingga 14 Januari depan.

"Penangguhan PAU 2022 berikutan ramai perwakilan yang ingin bercuti hujung tahun bersama keluarga, maka Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bersetuju PAU ditangguh kepada Januari depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 2:36 PM