Datuk Seri Ahmad Maslan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Datuk Seri Ahmad Maslan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Mohamed Farid Noh


Pontian: Usul tambahan dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) berakhir semalam, dibenarkan mengikut Peraturan Persidangan Umno Perkara 20.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada keperluan bagi mana-mana ahli parti untuk merujuk perkara itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Katanya, isu penambahan usul itu juga sudah dirujuk kepada barisan peguam Umno bagi mendapatkan nasihat sebelum ia dibahaskan, malah ia bukan usul haram seperti tuduhan pihak tertentu.

"Selepas episod ucapan dan cadangan wakil Negeri Sembilan berkenaan usul tambahan itu yang kemudian disokong oleh wakil Terengganu, saya telah meminta nasihat barisan peguam Umno.

"Mereka (peguam Umno) menyatakan kaedah usul itu dibolehkan seperti peraturan Persidangan Umno Perkara 20, dengan syarat ia dimaklumkan dan dibenarkan Pengerusi Tetap Umno.

"Tidak ada apa-apa perkara pun yang melanggar peraturan persidangan. Jadi kalau tidak ada apa-apa yang melanggar peraturan mesyuarat, saya tidak nampak kenapa ia perlu dirujuk pada ROS.

"Sedangkan kalau dirujuk pun pada ROS, saya dan peguam Umno akan menjelaskan pada agensi itu apa yang berlaku dan peraturan mesyuarat Umno yang benarkan perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas acara mengangkat sumpah Ketua Kampung Daerah Pontian di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian dan Timbalan Menteri Kewangan berkata, kaedah pengundian usul itu turut dilaksana mengikut peraturan dan secara tertib, dengan kaedah biasa iaitu mereka yang menyokong bangun serta mengangkat tangan.

"Majoriti perwakilan menyokong usul tiada pertandingan itu yang saya anggarkan sekitar 90 peratus. Saya melihat prosesnya di atas pentas dan ia turut divideokan sebagai bukti.

"Perwakilan yang tidak menyokong usul itu juga diminta bangun dan angkat tangan. Jadi bukan hanya yang menyokong, undi perwakilan yang tidak menyokong juga diminta bangun dan ternyata jumlahnya terlalu sedikit," katanya.

Menurut Ahmad, isu berkenaan usul tambahan juga pernah berlaku ketika PAU pada 1990-an yang ketika itu meminta jawatan Presiden tidak dipertandingkan dan ditambah dengan jawatan Timbalan Presiden pada perbahasan.

"Tan Sri Sulaiman Ninam Shah yang ketika itu Pengerusi Tetap Umno membenarkan, sehingga usul itu akhirnya diluluskan. Ia sebenarnya ikut peraturan mesyuarat," katanya.

Ahmad berkata, sebelum usul itu beliau menunjukkan Peraturan Persidangan Perkara 20 kepada Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Mereka baca satu persatu peraturan itu. Memang peraturan itu jelas membolehkan usul tambahan dibuat," katanya.

Semalam, media melaporkan keputusan PAU meluluskan usul dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang, dilihat sebagai suatu pendirian yang membimbangkan.

Ismail Sabri dilapor berkata, ia juga dikhuatiri boleh memberi kesan terhadap usaha untuk memulihkan keyakinan generasi muda serta orang Melayu terhadap parti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 2:13 PM