GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu berkenaan servis dekorasi sambutan hari jadi dan aqiqah tahun lalu.

Tertuduh, Siti Helena Azmi, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 39 tahun bagi pemasangan dekorasi majlis hari jadi dan aqiqah yang tidak wujud sehingga mendorong penyerahan wang berjumlah RM700 melalui akaun BigPay.

Siti Helena didakwa melakukan perbuatan itu dilakukan di Residensi Persiaran Hijau Kasturi, Cahaya SPK di sini, jam 2.41 petang, 7 Julai lalu.

Pendakwaan kes dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman menawarkan ikat jamin berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.

Siti Helena yang diwakili Peguam Shalehhuddin Salam bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan berikutan tertuduh mempunyai tanggungan seorang anak perempuan berusia lima tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan kos ikat jamin RM3,000 dan menetapkan sebutan bagi serahan dokumen pada 1 Mac depan.

Disember lalu, seorang wanita dilaporkan ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan lebih enam kes penipuan perkhidmatan dekorasi hari jadi menerusi aplikasi Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 12:31 PM