Rosli Ilham


Dungun: Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) merancang untuk membina bangunan baru Tabika di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara, di kawasan yang lebih selamat.

Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang berkata, perancangan itu dibuat sebagai mengelak pusat pembelajaran kanak-kanak itu berisiko dilanda banjir.

Menurutnya, pelan rancangan itu akan dirangka termasuk mengkaji kesesuaian membina bangunan yang lebih tinggi dan sebagainya.

"Ini semua sedang kita rancangkan bagi mencari kesesuaian. Cadangan bangunan dua tingkat juga penting iaitu di tingkat atas untuk pembelajaran murid manakala di bahagian bawah sesuai untuk aktiviti luar kelas," katanya katanya ketika melawat Tabika Kemas Kampung Kuala Jengal, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Bukit Besi, Roslee Daud dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah ( KETENGAH) Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Rubiah berkata, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti sebanyak 310 Tabika Kemas di seluruh negara terkesan dengan bencana banjir yang berlaku pada Disember lalu.

"Kejadian banjir baru-baru ini sangat buruk sehingga banyak bangunan Tabika Kemas di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak ditenggelami banjir sehingga berlaku pelbagai kerosakan.

"Bagi negeri pantai timur, sebanyak 212 Tabika terbabit iaitu, Kelantan (111) ,Terengganu (100) dan Pahang (1) dan banyak alat bantu pembelajaran, peralatan elektrik, dan perabot rosak.

Menurutnya, setakat ini pihaknya masih mengumpul maklumat bagi mengenal pasti jumlah keseluruhan tabika yang terbabit di seluruh negara termasuk jumlah kos sebenar kerugian yang dialami.

"Dalam minggu ini kita akan dapat semua maklumat itu dan selepas itu kita akan salurkan peruntukan bagi menjalankan kerja membaiki termasuk menggantikan kesemua peralatan yang rosak.

"Setakat ini, sesi pembelajaran kesemua Tabika Kemas yang terbabit sudah berjalan seperti biasa selepas kesemua bangunan itu dibersihkan," katanya.

Sementara itu, Rubiah berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti jumlah serta kos kerosakan jalan di kawasan bawah kementeriannya akibat kejadian banjir baru-baru ini.

"Kita sedang usahakan untuk menilai kos kerosakan itu dan kerja membaiki kesemua jalan yang rosak itu akan dibaiki segera demi keselesaan semua penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 2:09 PM
Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah KKDW, Datuk Rubiah Wang (tengan) bertanya khabar kanak-kanak Tabika ketika melawat Tabika Kemas Kuala Jengai. FOTO Rosli Ilham
Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah KKDW, Datuk Rubiah Wang (tengan) bertanya khabar kanak-kanak Tabika ketika melawat Tabika Kemas Kuala Jengai. FOTO Rosli Ilham