Sepanjang 61 tahun penubuhannya, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sentiasa melakukan evolusi dan penambahbaikan terhadap institusi TABIKA ke arah yang lebih baik untuk kecemerlangan pendidikan kanak-kanak di negara ini.
Dengan menggunapakai slogan 'Low Cost, High Impact', KEMAS terus bergerak ke hadapan supaya TABIKA KEMAS sentiasa relevan untuk masyarakat, dikenali dan menjadi yang terbaik.
Bersesuaian dengan peredaran zaman, KEMAS komited memberi yang terbaik untuk anak bangsa dengan melaksanakan pelbagai penambaikan dan transformasi tabika di seluruh negara.
Terbaharu, menyedari pendidikan Al-Quran teras utama dalam kemenjadian kanak-kanak yang beragama Islam selain kemahiran sedia ada yang diperlukan, KEMAS memperkenalkan Program Pra Tahfiz.
Ketua Pengarah KEMAS Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi, berkata TABIKA Pra Tahfiz KEMAS adalah program memperkasakan lagi pendidikan al-Quran di TABIKA KEMAS seluruh negara.
Katanya, program ini juga memberi nilai tambah kepada modul sedia ada iaitu Modul Penghayatan Islam (PPI) merangkumi aspek pendidikan al-Quran untuk melahirkan Huffaz Cilik.
"KEMAS memang sudah ada modul PPI yang dilaksanakan pada 2017 memfokuskan kepada dua iaitu Fardhu Ain dan pembacaan al-Quran. Namun dengan menerusi Pra Tahfiz ini, ia dapat memperkukuhkan lagi modul yang sedia ada.
"Program Pra Tahfiz ini juga memfokuskan kepada menghafaz Juzuk 30 termasuk surah dalam juzu'amma dan surah pilihan dalam Juzuk 30 dengan bacaan (Qiraat) Adab dan tadabbur.
"Dalam pada itu, program ini adalah salah satu 'game changer' memperkasakan pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia yang akan memberi fokus kepada 7M iaitu mengaji, menghafaz, membaca, menulis, mengira, menaakul dan manusiawi," katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.
Menurutnya, pembentukan umat penghafaz al-Quran boleh membawa impak kepada pembangunan modal insan serta kesejahteraan umat Islam keseluruhannya.
Hal ini katanya, bersesuaian dengan objektif program pra Tahfiz diperkenalkan yang mana pertama bukan saja mahu menggalakkan jiwa cintai al-Quran disemaikan daripada awal usia tetapi mahu anak-anak ini mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Ahmad Kamal berkata, program ini juga diperkenalkan untuk melahirkan lebih ramai huffaz (hafiz dan hafizah) yang mahir dalam pembacaan dan pengajian ilmu al-Quran serta pengajian Islam bagi memelihara kesucian al-Quran sekali gus melahirkan 100,000 huffaz cilik menjelang 2026.
"Program ini juga bertujuan menyediakan alternatif kepada ibu bapa untuk mencorak pendidikan anak dalam pendidikan al-Quran.
"Sebenarnya, selain memfokuskan kepada anak-anak, program ini juga memberi kesan berganda kepada ibu bapa kerana secara tidak langsung apabila anak membuat hafazan di rumah, ibu bapa akan terbabit sama.
"Selain itu, jika anak-anak sudah pandai dan menghafaz 16 surah dari juzuk 30, ia pasti menjadi cabaran kepada ibu bapa sekali gus mereka akan turut sama menghafaz surah berkenaan," katanya.
Program TABIKA Pra Tahfiz KEMAS ini juga antara Hala Tuju Strategik (HATS) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tahun 2023 dalam Membangun Modal Insan Desa Secara Komprehensif bagi memperkasakan Pendidikan Al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia.
Justeru, dalam pelaksanaan program ini, pengurusan tertinggi KKDW dan KEMAS khususnya Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melaksanakan kolaborasi dengan Yayasan Pahang.
Pengisian Modul Pra Tahfiz KEMAS ini merujuk sepenuhnya Modul Hafazan TADIKA Tahfiz Negeri Pahang dengan teknik hafazan dan kaedah pembelajaran secara 'fun learning' yang sesuai dengan perkembangan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah.
Memandangkan pelaksanaan modul bagi program ini juga nilai tambah kepada Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tambahan masa sejam diperlukan bagi melaksanakan aktiviti hafazan seperti terkandung dalam Modul Pra Tahfiz KEMAS berkenaan.
Justeru, KEMAS akan mengguna pakai modul disediakan oleh pihak Yayasan Pahang merangkumi modul lima dan enam tahun yang dilaksanakan di tabika mereka.
Dari segi pelaksanaan dan persediaan guru pula, Ahmad Kamal berkata sepanjang tahun ini pihaknya sudah membuat sesi libat urus pada 6 Jun lalu dan membabitkan 100 kelas untuk projek rintis.
"Sehingga kini, seramai 100 guru (Pendidik Masyarakat) diberikan pengetahuan, kemahiran dan latihan berkaitan pengisian, teknik hafazan, kaedah pembelajaran hafazan secara fun learning, pentaksiran serta pemantapan kemahiran al-Quran semasa.
"Latihan ini termasuk pemantauan secara berterusan yang akan dilaksanakan bersama Yayasan Pahang bagi memastikan kualiti program ditingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.
Mengulas lanjut, dalam perancangan KEMAS, pada tahun 2024 program ini akan diperluaskan di 4,000 kelas TABIKA KEMAS di seluruh negara.
"Kita juga ke arah 'Training of Trainers' (TOT) dengan kerjasama Yayasan Pahang, Yayasan PINTA dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
"Dari segi pembacaan pula, kita akan melatih dalam kalangan guru TABIKA KEMAS secara TOT. Dengan itu, guru-guru ini juga boleh melatih rakan-rakan guru yang lain.
"Ini juga membawa kesan berganda yang mana kita boleh memberikan ilmu kemahiran kepada cikgu-cikgu kita," katanya.
Bagi memastikan program ini lancar dan mencapai objektif penganjurannya, satu majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara KEMAS dan Yayasan Pahang adakan dilaksanakan esok iaitu 7 November di Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS Kampung Seri Batu Kuala Lumpur.
Majlis bersejarah itu akan akan disaksikan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah.
Mengulas mengenai intipati MOA berkenaan, Ahmad Kamal berkata pertama Yayasan Pahang membenarkan KEMAS menggunakan Modul Hafazan dikeluarkan dan diguna pakai oleh TADIKA Tahfiz Negeri Pahang.
"Kedua, Yayasan Pahang juga akan memberi khidmat nasihat kepada KEMAS dalam apa-apa perkara berkaitan seperti latihan kompetensi tenaga pengajar dalam kemahiran asas al-Quran dan penggunaan modul.
"Seterusnya Yayasan Pahang bukan saja akan memperakukan Sijil Kompetensi yang dikeluarkan oleh KEMAS kepada tenaga pengajarnya tetapi juga memperakukan Sijil Tamat Modul yang dikeluarkan oleh KEMAS kepada kanak-kanak TABIKA KEMAS yang berjaya mengikuti Program Pra Tahfiz ini.
"Menerusi MOA ini juga, KEMAS dan Yayasan Pahang akan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan," katanya.
Oleh itu, Ahmad Kamal berharap program dimulai dengan 100 kelas pada tahun ini boleh diperluas ke 4,000 kelas pada tahun hadapan.
Pada 2016, KEMAS memperkenalkan modul keyakinan diri, modul patriotik dan PPI.
Menerusi modul itu, KEMAS memenangi empat kali Anugerah Trusted Brand of The Year bagi kategori Pusat Pembelajaran Prasekolah Pilihan Pengguna di Malaysia oleh Reader's Digest.
"Dalam masa sama, kita cuba sesuaikan program prasekolah kita dengan tuntutan semasa.
"Kita melihat penekanan dalam bidang keagamaan penting untuk menjadi asas kepada anak yang berumur lima hingga enam tahun sekali gus menjadikan anak Tabika KEMAS lebih baik dari yang lain.
"Modul di tabika KEMAS ini juga sentiasa ditambahbaik dan tahun hadapan (2024) kita sudah mendapat peruntukan untuk melaksanakan pendigitalan dalam kelas-kelas TABIKA KEMAS," katanya.