LOKASI kejadian yang mengorbankan Nur Syaza Alfisya dan Muhammad Al Qayyum. FOTO Arkib NSTP
LOKASI kejadian yang mengorbankan Nur Syaza Alfisya dan Muhammad Al Qayyum. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Punca sebenar kebakaran di sebuah rumah di Jalan Dewan Simpang Tiga, Kampung Tanggu di sini yang mengakibatkan dua beradik rentung akan diketahui dalam tempoh 14 hari.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, pakar forensik bomba akan menjalankan siasatan terperinci di lokasi kejadian, selain uji kaji di makmal forensik.

"Kita akan membuat kajian terperinci dan hasil siasatan mampu disiapkan dalam tempoh 14 hari bagi kita mengetahui punca sebenar kejadian.

"Setakat ini proses siasatan masih berjalan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Isnin lalu, dua beradik ditemukan rentung selepas rumah mereka terbakar dalam kejadian 3.54 pagi.

Dua mangsa iaitu dua kanak-kanak berusia sembilan dan enam tahun rentung dalam kejadian itu.

Kanak-kanak yang ditemukan rentung itu ialah Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 9, dan adik lelakinya Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 6.

Difahamkan ketika kejadian, pintu jeriji kediaman berkenaan berkunci, dengan ibu bapa mangsa dikatakan keluar rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 2:53 PM