PEGAWAI bomba meletak notis di tempat kejadian. FOTO Hazreen Mohamad
PEGAWAI bomba meletak notis di tempat kejadian. FOTO Hazreen Mohamad
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: "Mujur ketika kebakaran itu hanya tinggal saya seorang di rumah sementara isteri dan dua anak berada di kampung," kata Muhammad Irwan Kadis, 39, penghuni rumah kedua di Jalan Dewan Simpang Tiga, Kampung Tanggut, di sini, yang musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Muhammad Irwan berkata, ketika itu dia sedang tidur di ruang tamu dan mengunci jam 3.30 pagi kerana mahu ke tempat kerja sebagai pemandu lori di Pasar Borong Selayang.

Menurutnya, selepas itu, terdengar orang mengetuk pintu rumah dan beritahu rumah terbakar.

"Saya hanya sempat mencapai beg mengandungi dokumen saja dan ketika itu rumah belum terbakar.

"Selepas itu siling di bilik belakang terjatuh dan asap mula kelihatan menyebabkan saya terus keluar dari rumah," katanya yang sudah enam tahun menyewa di sini.

Dalam kebakaran kira-kira 3.30 pagi itu, dua beradik ditemukan rentung selepas rumah mereka terbakar.

Kanak-kanak yang ditemukan rentung dikenali sebagai Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 9, dan adik lelakinya berusia enam tahun Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan.

Difahamkan ketika kejadian, pintu jeriji kediaman berkenaan berkunci, dengan ibu bapa mangsa dikatakan keluar rumah.

Muhammad Irwan berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barangan lain dan tinggal sehelai sepinggang.

"Namun mujur isteri dan anak tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Pahang sempena cuti sekolah dan akan pulang esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 12:49 PM