MUHAMMAD Mikhail Ridzuan menderita akibat radang usus sejak berumur enam tahun. FOTO Ihsan Fatinfilza Kamarudin
MUHAMMAD Mikhail Ridzuan menderita akibat radang usus sejak berumur enam tahun. FOTO Ihsan Fatinfilza Kamarudin
Redzuan Muharam


Alor Gajah: Ketika rakan sebaya lain riang ke sekolah, Muhammad Mikhail Ridzuan, 10, sebaliknya hanya mampu menahan derita radang usus yang menyebabkan pergerakannya terbatas hingga tidak dapat bergerak aktif seperti kanak-kanak lain.

Berkongsi kisah itu, Fatinfilza, 34, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu adalah hasil perkahwinannya dengan suami, Ridzuan Mohd Isa, 38.

Katanya, Muhammad Mikhail menghidap penyakit itu sejak berumur enam tahun bermula dengan simptom demam diikuti muntah dan cirit berat selama empat hari.

"Keadaan itu berlarutan hingga Mikhail (nama panggilan) membuang najis bersama darah.

"Saya dan suami kemudian membawanya ke hospital untuk rawatan. Doktor ada melakukan ujian tibi sebelum anak saya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Hasil pemeriksaan dijalankan doktor mendapati dinding ususnya penuh dengan darah selain nanah sebelum mengesahkan Mikhail mengalami radang usus," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Fatilfilza, mereka dimaklumkan belum ada penawar untuk merawat penyakit anaknya itu.

"Berat badan anak saya susut dan kini hanya sekitar 19 kilogram (kg) saja.

"Doktor maklumkan sakit (penyakit) akan kekal sampai bila-bila dan tiada ubat boleh merawatnya buat masa ini.

"Puas sudah saya menangis melihat penderitaan Mikhail hinggakan dia terpaksa menggunakan lampin pakai buang.

"Cuma mahu atau tidak, saya dan suami kena reda kerana sudah itu ketentuan-Nya. Selain rawatan moden, kami turut menjalani perubatan Islam," katanya.

Menurutnya, Mikhail kini bergantung dengan ubat yang diambilnya sejak dua minggu lalu.

"Bagaimanapun ada enam minggu lagi untuk melihat sama ada Mikhail serasi dengan ubat itu atau sebaliknya.

Kos ubat itu adalah RM1,400 bagi tempoh dua minggu. Mikhail perlu bergantung dengannya selama dua tahun.

"Buat masa ini, saya dan suami menjual sambal cili padi ikan bilis, jering dan petai untuk menampung kos membeli ubat berkenaan," katanya.

Selain itu, suaminya turut mengambil upah memotong rumput dan bertukang untuk menampung kos berkenaan.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada memberi elaun bulanan pesakit kronik sebanyak RM500 manakala RM220 disumbangkan zakat," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0410241100025126 atas nama Fatinfilza Kamarudin atau akaun Bank Islam bernombor 04024029239498 atas nama Ridzuan Mohd Isa atau menghubungi Fatinfilza di talian 014-9498905.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 3:18 PM